Iklan

Sarawak negeri paling teruk jangkitan Covid-19 di Malaysia, menurut KKM

Desmond Davidson3 years ago2nd Oct 2021Berita
49931838781 fc9561c13b b
Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu antara daerah paling terjejas di Sarawak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Oktober, 2021.
Iklan

DATA Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai impak Covid-19 di Sarawak amat membimbangkan dengan angka kes baharu Covid-19 di negeri itu dalam tempoh dua minggu terakhir adalah 13.5 kes bagi setiap 1,000 penduduk, menjadikannya negeri dengan jangkitan paling teruk di negara ini.

Ia diikuti Kelantan yang mencatat 8.6 kes bagi setiap 1,000 penduduk, Pulau Pinang 8.4 manakala Terengganu 7.8.

Semua daerah paling banyak didiami di Sarawak – Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu – mendahului dalam jumlah kes harian baharu dengan Kuching mencatat 899 daripada 2,121 kes hari ini. Miri mempunyai 200 kes, Sibu 153 dan Bintulu 88.

Bagaimanapun, 99.39% daripada kes yang dilaporkan hari ini adalah bagi kategori 1 (tiada gejala) atau 2 (bergejala ringan).

Membuktikan arah aliran itu, 83.3% daripada yang dijangkiti diarahkan menjalani kuarantin di rumah, 13.3% dihantar ke pusat kuarantin Covid-19 berisiko rendah dan pusat rawatan atau PKRC manakala 3.1% dimasukkan ke hospital.

Statistik menunjukkan bagi yang dimasukkan ke hospital, ada 47 kes memerlukan ventilator di unit rawatan rapi (ICU) atau 48% penggunaan katil.

Kes di Sarawak meningkat secara drastik dari 12 Julai yang mana purata harian dalam tempoh seminggu adalah 329 kes.

Jumlah penduduk yang divaksinasi, termasuk dos pertama ketika itu hanya 24% daripada jumlah 2 juta penduduk negeri itu. Pada 31 Julai, purata itu meningkat kepada 450 dan pada 1 Ogos adalah 474.

Ia semakin meningkat dan kemuncaknya pada 16 September yang mana purata harian bagi tujuh hari adalah 3,806.

Jumlah angka kematian harian seperti dijangka meningkat seiring dengan peningkatan jangkitan bermula pada 10 Ogos apabila purata bagi tujuh hari adalah satu sahaja.

Angka kematian harian melonjak kepada 15 pada Isnin, 27 September.

Ketika Sarawak mungkin negeri paling teruk dijangkiti di negara ini, statistik KKM menunjukkan kematian bagi 100,000 penduduk di negeri itu bagi dua minggu terakhir adalah 5.4 – hanya sedikit melebihi purata kebangsaan 5 kematian.

Purata 5.4 kematian bagi setiap 100,000 kes dicatatkan dalam tempoh dua minggu itu bagaimanapun jauh berbanding Pulau Pinang (12.2) atau Johor (8.4). Malah negeri kecil Perlis mencatat purata kematian lebih tinggi 7.5 manakala negeri jiran Sabah 6.3.
– 2 Oktober, 2021.

Iklan
Iklan