Iklan

PAS mahu runding dengan Perikatan isu bertembung dengan Umno

Diyana Ibrahim3 years ago3rd Oct 2021Berita
51397480054 332829107f b
Tuan Ibrahim berkata perbincangan akan diadakan dalam masa terdekat dengan lima parti komponen PN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2021.
Iklan

PAS akan berbincang dengan pemimpin Perikatan Nasional minggu depan berhubung isu pertembungan dengan Umno, kata timbalan presiden parti Islam itu Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menteri alam sekitar dan air itu berkata, PAS masih belum menyatakan persetujuan berhubung keputusan untuk tidak berunding dengan Umno bagi kerusi Pilihan Raya Umum Ke-15.

“Perbincangan akan diadakan dalam masa terdekat dengan lima komponen parti PN,” katanya kepada pemberita di Dungun selepas pelancaran satu program pasar raya wakaf.

Tuan Ibrahim menjawab kenyataan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang mengumumkan gabungan itu akan memulakan rundingan kerusi antara parti komponen mereka tanpa membabitkan Umno.

Muhyiddin yang juga presiden Bersatu berkata, PN bertindak demikian kerana Umno masih tidak memberikan sebarang petunjuk sama ada mahu berunding dengan gabungan itu.

Menurutnya lagi, PN akan memulakan rundingan kerusi antara lima parti komponen mereka seawal minggu hadapan.

Langkah itu disambut gembira oleh Umno yang turut mengumumkan parti itu akan bertanding secara solo di bawah panji BN.

Presidennya Ahmad Zahid Hamidi berkata, Umno juga hanya akan berunding dengan parti lain selepas pilihan raya umum.

PAS membentuk kerjasama lebih awal dengan Umno dalam Muafakat Nasional yang dibentuk pada September 2019 selepas Barisan Nasional kalah PRU14.

Gabungan itu adalah kerjasama antara dua parti bagi menghadapi PRU15 sebelum Perikatan Nasional antara PAS, Umno dan Bersatu ditubuhkan kemudian.

Selepas pembentukan kerajaan baharu bulan lalu, PAS mengumumkan mesyuarat Muafakat Nasional akan diadakan bagi membincangkan kedudukan dan hala tuju gabungan itu.

Parti Islam itu berkata demikian dengan hasrat untuk terus mengekalkan kerjasama dengan Bersatu dan Umno.

PN dianggotai Bersatu, PAS, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Progresif Sabah (SAPP). – 3 Oktober, 2021.

Iklan
Iklan