Sokong penyandang jika bertembung dengan Umno, kata PAS
Iklan
PAS akan menyokong calon penyandang di kerusi yang berlaku pertembungan antara Umno dan Perikatan Nasional kelak, kata Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau berkata langkah itu salah satu formula yang mungkin akan diguna pakai oleh PAS bagi mengelakkan berlaku pertembungan merugikan parti Melayu.
Ia juga bertujuan mengelakkan Pakatan Harapan mempunyai peluang menang dalam pilihan raya akan datang, kata menteri alam sekitar dan air itu.
“Itu adalah antara pilihan kita sebagai contoh kalau kerusi itu penyandangnya Bersatu, bila Umno nak bertanding kerusi itu PAS tidak akan sokong Umno.
“Kita akan pastikan pemyokong kita 2.2 juta untuk menyokong penyandang saja. Begitu juga kalau kerusi itu penyandangnya Umno, maka PAS akan menyokong Umno bukan parti lain.
“Dengan cara itu kita nak elak pertembungan tiga penjuru, sokongan kerusi penyandang ini sebagai asas untuk muafakat politik kita,” katanya kepada pemberita di Dungun petang ini.
Ditanya lanjut, Tuan Ibrahim berkata PAS bagaimanapun masih lagi meneliti bentuk sokongan di kerusi melibatkan calon yang lompat parti.
Mengulas lanjut beliau berkata PAS mengakui pertembungan kerusi itu tidak dapat dielakkan, maka mereka mensasarkan matlamat untuk mengurangkan kesan itu ke paras minimum.
“Dalam politik kemungkinan berlakunya pertembungan tidak boleh dielak tapi nak minimumkan.
“Yang tak boleh elak kita tak boleh (buat) apa, cuma jangan banyak sangat. Kita yakin semua nak elak PN menang.
“Kalau kita bertembung khususnya di pantai barat, kalau berpakat kita boleh menang.
“Kita pergi pada kerusi yang mudah untuk kita urus, kerusi yang payah akan ambil masa,” katanya.
Tuan Ibrahim menjawab kenyataan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang mengumumkan gabungan itu akan memulakan rundingan kerusi antara parti komponen mereka tanpa melibatkan Umno.
Muhyiddin yang juga presiden Bersatu berkata, PN bertindak demikian kerana Umno masih tidak memberikan sebarang petunjuk sama ada mahu berunding dengan gabungan tersebut.
Menurutnya lagi, PN akan memulakan rundingan kerusi antara lima parti komponen mereka seawal minggu hadapan.
Langkah tersebut disambut dengan gembira oleh Umno yang turut mengumumkan parti itu akan bertanding secara solo bawah panji BN.
Presidennya Ahmad Zahid Hamidi berkata, Umno juga hanya akan berunding dengan parti lain selepas pilihan raya umum.
PAS membentuk kerjasama labih awal dengan Umno dalam Muafakat Nasional yang dibentuk pada September 2019 selepas Barisan Nasional kalah PRU14.
Gabungan itu merupakan kerjasama antara dua parti bagi menghadapi PRU15 sebelum Perikatan Nasional antara PAS, Umno Bersatu ditubuhkan kemudian.
Selepas pembentukan kerajaan baharu bulan lalu, PAS mengumumkan mesyuarat Muafakat Nasional akan diadakan bagi akan membincangkan kedudukan dan hala tuju gabungan itu.
Parti Islam itu berkata demikian dengan hasrat untuk terus mengekalkan kerjasama dengan Bersatu dan juga Umno.
PN dianggotai Bersatu, PAS, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).
PN tidak lagi menguasai kerajaan sejak Ogos lalu selepas Umno menarik sokongan ke atas Muhyiddin menyebabkan kerajaan sekali lagi bertukar. – 3 Oktober, 2021.