Iklan

Tak perlu pas kebenaran ke luar negara bila 90% rakyat lengkap vaksin, kata PM

Ismail sabri vaccine 20210829 tmihasnoor -03
Lebih 80% rakyat Malaysia sudah menerima dos vaksin, kata Ismail Sabri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2021.
Iklan

PENGGUNAAN pas perjalanan bagi rakyat Malaysia ke luar negara tidak lagi terpakai sebaik sahaja 90% populasi penduduk negara ini lengkap dua dos vaksin, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, pihaknya juga menjangkakan perkara itu akan dapat dicapai tidak lama lagi memandangkan setakat ini lebih 80% rakyat Malaysia sudah menerima dos vaksin mereka.

“Tetapi untuk pelancongan kita masih belum benarkan, untuk suami berjumpa isteri kita benarkan, tapi mesti ada permohonan.

“Tapi hari ini saya sebut, bila 90% program vaksinasi tercapai untuk dua dos, kita akan membenarkan rakyat keluar negara tanpa memohon MyTravelPass (MTP).

“Maknanya, tak akan digunakan apabila vaksin program vaksinasi tercapai 90%, penduduk keseluruhan, bermakna seperti saya kata tadi mungkin tak lama lagi,” kata Ismail Sabri.

Beliau berkata demikian ketika sesi wawancara eksklusif bersama perdana menteri Malaysia yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen nasional, malam ini.

Setakat ini, Jabatan Imigresen Malaysia hanya memberikan pengecualian pas perjalanan MTP kepada beberapa kumpulan rakyat negara ini yang perlu ke luar negara.

Ia termasuk kumpulan pelajar yang baru mendapat tawaran dan mereka yang ingin menyambung pengajian serta pelajar yang menduduki peperiksaan di luar negara.

Selain itu, mereka yang terbabit dengan urusan kecemasan seperti kematian dan sakit kritikal juga tidak perlu membuat permohonan MTP.

Rakyat negara ini yang ingin bertemu pasangan isteri atau suami di luar negara yang mana perkahwinan hanya didaftarkan di luar negara juga dikecualikan MTP.

Pengecualian itu turut terpakai buat warganegara Malaysia yang menyertai acara sukan, seminar dan mesyuarat atau menyertai misi bantuan kemanusiaan di luar negara.

MTP dikeluarkan untuk mereka yang melakukan perjalanan ke luar negara selepas sempadan ditutup berikutan pandemik Covid-19.

Jabatan Imigresen sebelum ini menyatakan pas perjalanan itu berkuat kuasa untuk memantau pergerakan pelancong yang masuk dan keluar dari negara ini sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengekang penularan wabak Covid-19. – 3 Oktober, 2021.

Iklan
Iklan