Ismail Sabri harap dapat adakan MoU dengan semua pembangkang
Iklan
PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob meletakkan harapan untuk mendapatkan kerjasama semua parti pembangkang menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) transformasi dan kestabilan politik.
Ahli Parlimen Bera itu berkata, walaupun MoU sudah dimeterai dengan gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH), perbincangan dengan parti pembangkang lain juga sedang berjalan.
“Mungkin mereka belum tandatangani, ada lagi individu dan parti tetapi perbincangan sedang berjalan. Di kalangan mereka ada yang sudah bersetuju.
“Sasaran saya semua parti pembangkang menandatangani, inklusiviti bukan setakat kaum, agama dan sebagainya, tapi dari segi fahaman politik, kita sama-sama membina negara,” kata Ismail Sabri.
Beliau berkata demikian ketika sesi wawancara eksklusif yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen nasional malam ini.
Naib presiden Umno itu berkata, setakat ini beliau berpuas hati dengan MoU yang dimeterai dengan PH yang menyaksikan situasi politik lebih tenang.
“Saya nak maklumkan dengan perjanjian atau persefahaman ini, kita boleh lihat ketenangan, yang terhasil, kalau kita lihat dalam Parlimen pun, perbahasan sangat profesional, tidak lagi seperti dahulu.
“Saya berpuas hati kalau saya tengok keadaan tenang di Parlimen, secara profesional, tidak ada banyak gangguan, jerit-menjerit seperti dahulu lagi, keadaan tenang,” katanya.
Tegasnya, menerusi MoU itu, kerajaan dan pembangkang saling menghormati antara satu sama lain kerana kedua-duanya saling memerlukan bagi membangunkan negara.
“Kita saling menghormati antara satu sama lain, saya dah beritahu pembangkang, kerajaan perlukan pembangkang sebagai semak dan imbang atau ‘check and balance’ kepada apa yang dilaksanakan kerajaan. Itu juga perlu.
“Kalau kita lihat bukan sahaja tenang di Parlimen, tetapi juga tenang di luar,” kata Ismail Sabri.
Beliau berkata, melalui MoU itu diharapkan parti politik kurang bermain politik kerana usaha dan tenaga harus ditumpukan kepada pembangunan negara yang terjejas disebabkan pandemik Covid-19.
“Jadi ini objektif kita tandatangani itu supaya tidak ada lagi terlalu banyak politiking, pertelagahan dan akhirnya membolehkan kerajaan menumpukan sepenuh tenaga kita untuk negara.
“Pertamanya dari segi selesaikan Covid-19, kedua pulihkan ekonomi negara yang terjejas dan menjayakan RMK-12,” kata Ismail Sabri. – 3 Oktober, 2021.