Kita kekurangan 30,000 pekerja, kata petani
Iklan
KEKURANGAN tenaga kerja yang lama di sektor pertanian sayur semakin memburuk semasa pandemik Covid-19 dan mempengaruhi pengeluaran tempatan, kata penanam sayur domestik.
Mereka menganggarkan tenaga kerja ketika ini berkurangan kira-kira 30,000 petani dan pekerja. Dengan masalah yang tidak dapat diselesaikan, mereka meramalkan Malaysia perlu bergantung kepada lebih banyak import untuk bekalan sayur-sayuran.
Mereka juga memberitahu The Malaysian Insight penduduk tempatan tidak mahu terlibat dalam pekerjaan sukar dan kotor di ladang serta pekerja asing yang sebelum ini bekerja di situ masih terkandas di sempadan luar negara.
Dengan kekurangan tenaga kerja semasa, ditambah iklim dan Covid-19, mereka berkata sukar untuk meningkatkan pengeluaran sayur-sayuran. Petani juga berusaha mengurangkan kesannya dengan menanam sayur-sayuran yang dapat dituai dengan cepat.
Persatuan Peladang Sayuran Persekutuan Malaysia Lim Ser Kwee berkata wabak itu memburukkan lagi masalah kekurangan tenaga kerja yang gagal diselesaikan kerajaan selama ini.
“Kita kekurangan 30,000 hingga 40,000 pekerja asing dan hasil pengeluaran ladang sayur tidak dapat dibandingkan dengan sebelum wabak melanda.
“Setiap ladang sayur-sayuran kekurangan 40% pekerja. Dulu, 10 pekerja bekerja di kebun sayur tetapi sekarang ada enam pekerja atau bahkan lebih sedikit.
“Pekerja asing yang sudah pulang tidak dapat kembali ke sini kerana sekatan sempadan.
“Saya bimbang kita perlu bergantung pada sayur-sayuran import untuk membekalkan bahan makanan di masa depan,” katanya.
Lim berkata kenaikan harga minyak sawit juga mendorong pekerja asing keluar dari ladang ekoran gaji yang ditawarkan dalam pengeluaran minyak sawit meningkat kepada RM2,000.
Petani sayur hanya mampu membayar gaji antara RM1,400 hingga RM1,500.
Dia juga berkata sayur-sayuran tidak boleh dituai dengan mesin dan mesti dipetik secara manual. Dia mendesak Kementerian Dalam Negeri untuk memberi keutamaan membenarkan pekerja asing kembali bekerja di sini.
Lim menganggarkan 10,000 pekerja asing menunggu untuk kembali ke Malaysia dan bekerja dengan majikan mereka.
“Kami berharap mereka yang mempunyai visa kerja yang belum tamat tempoh dibenarkan untuk kembali bekerja terlebih dahulu. Petani sayur-sayuran menghubungi pekerja dan kesemua mereka menunjukkan kesediaan untuk kembali bekerja,” katanya. – 5 Oktober, 2021.
Berita penuh di sini.