Bersatu tidak ambil tindakan, Borhanudin sudah letak jawatan, kata Hamzah
Iklan
BERSATU tidak mengambil tindakan lanjut ke atas pemimpin bahagiannya di Kelantan yang sudah meminta maaf berhubung kenyataan berbaur perkauman terhadap pemain badminton negara S Kisona, kata Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin.
Hamzah berkata Borhanudin Che Rahim juga sudah letak jawatan naib ketua bahagian Bersatu Pasir Putih.
“Parti pada kita sudah selesai kerana dia sanggup meletakkan jawatan jadi kita akan panggil dia dan akan selesaikan isu ini,” katanya pada media selepas program pecah tanah di Ibu Pejabat Polis IPK Terengganu, hari ini.
Hamzah yang juga menteri dalam negeri berkata polis akan menyiasat perkara itu susulan ada laporan dibuat mengenainya.
Namun secara peribadi beliau berkata isu tersebut tidak harus dipanjangkan kerana ahli Bersatu itu sendiri sudah mengakui kesilapan dan meminta maaf.
“Kita sentiasa menyiasat laporan yang mempunyai niat… rakyat ini dalam keadaan gusar ada perasaan tidak percaya satu sama lain.
“Itu bab lain, bab yang ini dia sendiri sudah minta maaf,” katanya.
Borhanudin membuat kenyataan berbaur perkauman itu melalui satu hantaran di Instagram semasa Kisona sedang beraksi dalam separuh akhir Piala Sudirman 2021 yang berlangsung di Vantaa, Finland pada hujung minggu.
Malaysia tumpas 1-3 kepada Jepun sekali gus gagal layak ke peringkat akhir yang dijadual berlangsung hari ini.
Kenyataan itu tular dan Borhanudin dikritik teruk termasuk oleh Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu yang juga timbalan presiden Bersatu serta Persatuan Badminton Malaysia (BAM), sehingga menyebabkan dia akhirnya meminta maaf dan letak jawatan parti.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Lazim berkata polis menyiasat kenyataan Borhanudin mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – 4 Oktober, 2021.