Iklan

Sumbangan politik RM6 juta sepatutnya untuk BN, bukan yayasan Zahid, kata pendakwa

Hailey Chung Wee Kye3 years ago4th Oct 2021Berita
Court case september 09, 2021 afif 04
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berhadapan dua tuduhan rasuah, menerima wang yang didakwa sebagai ganjaran kerana melantik syarikat pengurusan perkhidmatan teknologi maklumat untuk membekalkan cip pasport Malaysia selama lima tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2021.
Iklan

PIHAK pendakwa dalam perbicaraan rasuah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini membantah hujah pembelaan yang mendakwa RM6 juta dari Datasonic Technologies Sdn Bhd adalah sumbangan politik kepada Barisan Nasional (BN).

Timbalan pendakwa raya Gan Peng Kun berkata wang itu diberikan kepada Zahid melalui yayasan amalnya, Yayasan Akalbudi, bukannya BN.

Wang itu diberikan dalam dua bentuk cek bernilai RM5 juta dan RM1 juta dari Datasonic pada 26 April 2017.

“Jika benar wang itu dimaksudkan sebagai sumbangan politik seperti yang didakwa oleh Chew dan Abu Hanifah, maka mengapa wang itu diberikan kepada Zahid, Menteri Dalam Negeri, yang kementeriannya memainkan penting beri projek itu kepada Datasonic, dan bukan kementerian lain?” tanya Gan hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Zahid, 68, menghadapi dua tuduhan rasuah kerana menerima wang yang didakwa sebagai ganjaran kerana melantik syarikat pengurusan perkhidmatan teknologi maklumat untuk membekalkan cip pasport Malaysia selama lima tahun.

Cek tersebut dibayar kepada firma guaman Lewis & Co, pemegang amanah Yayasan Akalbudi, yang menurut Gan tidak ada kaitan dengan Barisan Nasional.

Pihak pembela menggunakan keterangan saksi dari Datasonic, iaitu bekas ketua pegawai eksekutifnya Abu Hanifah Noordin dan bekas timbalan pengarah urusan Chew Ben Ben, yang berkata di mahkamah cek itu bukan rasuah tetapi sumbangan politik.

Bagaimanapun Gan berkata: “Tidak ada orang yang waras akan datang ke mahkamah dan mengaku dia beri rasuah kepada orang yang berada dalam kandang tertuduh.”

Zahid, yang merupakan ahli Parlimen Bagan Datuk, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Mengenai kenyataan pembela yang Zahid tidak lantik Datasonic pada 2015 untuk kontrak kerajaan bernilai RM318.75 juta, Gan berkata Zahid memang ada kata putus mengenai keputusan tersebut.

Kontrak itu perlu melalui prosedur rundingan langsung, dan perolehan tersebut hanya dapat dipersetujui oleh Kementerian Kewangan (MoF), kata Gan, menambah kedua-dua kementerian kewangan dan kementerian dalam negeri perlu setuju untuk beri kontrak itu kepada Datasonic.

“MOF, sebagai kementerian yang mengendalikan kewangan kerajaan, yang ada hak untuk beri kontrak rundingan langsung seperti dalam hal ini.

“Wang yang digunakan untuk bayar Datasonic datang dari MoF. Tetapi, kontrak untuk bekalkan cip pasport juga berada di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri,” kata pendakwa.

Gan menggunakan bukti dari saksi pendakwaan ke-33, bekas setiausaha bahagian perolehan Kementerian Dalam Negeri, Abd Aziz Md Nor, yang memberi keterangan sebelum ini, Zahid arah kementerian untuk guna cip pasport Datasonic.

“Pada mulanya, Aziz, selepas dapat maklum balas dari Jabatan Imigresen, tidak setuju yang Datasonic bekal cip pasport.

“Perkara itu berubah apabila tertuduh menulis minit untuk Datasonic agar diberi persetujuan untuk bekal cip pasport.

“Tertuduh mendorong perubahan kedudukan yang diambil oleh pegawai Kementerian Dalam Negeri,” kata Gan.

Perbicaraan bersambung esok. – 4 Oktober, 2021.

Iklan
Iklan