Iklan

BN Melaka arah jentera negeri bersiap hadapi PRN

Chan Kok Leong3 years ago4th Oct 2021Berita
49932184296 b9467b39ba o
Melalui sepucuk surat yang dilihat oleh The Malaysian Insight, Timbalan Pengarah Pilihan Raya II BN Melaka Hasnoor Sdg Husin memaklumkan kepada semua jentera agar bersiap sedia menghadapi pilihan raya segera di negeri tersebut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2021.
Iklan

BARISAN Nasional (BN) telah mengarahkan jentera pilihan rayanya bersiap sedia bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di Melaka susulan kejatuhan pentadbirannya hari ini.

Melalui sepucuk surat yang dilihat oleh The Malaysian Insight, Timbalan Pengarah Pilihan Raya II BN Melaka Hasnoor Sdg Husin memaklumkan kepada semua jentera agar bersiap sedia menghadapi pilihan raya segera di negeri tersebut.

“Diminta berada dalam kesiapsiagaan yang tinggi memandangkan PRN Melaka akan diadakan sejurus pengisytiharan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

“Jentera pilihan raya di semua peringkat hendaklah digerakkan pada kadar segera bagi memastikan kemenangan BN,” kata Hasnoor.

Surat bertarikh hari ini turut disalin untuk ibu pejabat BN Melaka, pengerusi BN Melaka, dan pengerusi MCA dan MIC negeri tersebut. Surat itu turut dikirim kepada semua enam ketua bahagian.

Petang tadi, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka Ab Rauf Yusoh memberi gambaran DUN akan dibubar bagi mengadakan PRN.

Awal hari ini, Ketua Menteri Melaka Sulaiman Sulaiman Md Ali hilang majoriti DUN susulan penarikan sokongan empat Adun terhadapnya.

Empat Adun itu ialah bekas ketua menteri Melaka Idris Haron (BN-Sg Udang), Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu).

Berikutan itu, Sulaiman kini hanya disokong oleh 13 Adun (12 Umno dan seorang Bersatu) sementara 15 Adun lagi berada dalam blok pembangkang (11 PH dan empat yang tarik sokongan). – 4 Oktober, 2021.

Iklan
Iklan