Iklan

Politik dalaman Umno tumbangkan kerajaan Melaka, kata sumber

Chan Kok Leong3 years ago5th Oct 2021Berita
Sulaiman
Menurut sumber Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali sebelum ini telah melihat tanda bahawa Adun tertentu menentangnya menyebabkan dia mendekati Pakatan Harapan untuk membuat perjanjian kepercayaan dan bekalan pada bulan Julai. – Gambar Facebook, 5 Oktober, 2021.
Iklan

POLITIK dalaman Umno di Melaka punca kerajaan negeri yang dibentuk melalui percaturan politik 18 bulan lalu hilang majoriti, kata beberapa sumber.

Sejak beberapa bulan lepas, Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali sudah nampak bayang-bayang kejadian semalam, apabila empat wakil rakyat kerajaan menarik balik sokongan mereka kepadanya, kata sumber.

Sulaiman yang merasakan kerajaannya goyah membuka rundingan dengan Pakatan Harapan sejak Julai untuk merangka satu perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA), kata seorang pemimpin kanan PH kepada The Malaysian Insight.

“Sulaiman datang kepada kami sebelum Ismail Sabri Yaakob jadi perdana menteri lagi (pada Ogos).

“Beliau mahu menstabilkan pentadbirannya kerana pada masa itu sudah ada tanda-tanda beberapa wakil rakyat Umno tidak bersamanya,” kata sumber.

Rundingan itu bagaimanapun terhenti tidak lama selepas Ismail Sabri dilantik jadi perdana menteri, pada 16 Ogos, kata sumber.

“Mungkin beliau ingat keadaan selamat kerana Ismail Sabri menandatangani perjanjian persefahaman dengan Pakatan Harapan untuk mengukuhkan kerajaannya di persekutuan.

“Tetapi keadaan tidak selamat juga kerana masih ada lagi percaturan kuasa di peringkat negeri. 

“Apa yang berlaku di peringkat nasional tidak semestinya tempias ke negeri,” tambah sumber.

Selepas berhari-hari spekulasi tersebar, empat wakil rakyat semalam mengumumkan mereka hilang keyakinan kepada Sulaiman untuk terus jadi ketua menteri.

Mereka diketuai Adun Sungai Udang Idris Haron dari Umno, yang juga bekas ketua menteri Melaka antara 2013 hingga 2018. 

Tiga yang lain ialah Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu-Bebas), Noor Effandi Ahmad (Telok Mas-Bersatu) dan Nor Azman Hassan (Pantai Kundor-Umno).

Susulan tindakan mereka, pentadbiran Sulaiman mempunyai 13 daripada 28 kerusi di DUN Melaka.

Kerajaan Melaka kini terdiri daripada 12 Adun Barisan Nasional dan seorang Adun Bersatu, sementara 11 Adun pembangkang terdiri daripada 7 DAP, 2 PKR, dan 2 Amanah.

Seorang lagi sumber memberitahu The Malaysian Insight perkembangan politik di Melaka minggu ini berpunca daripada politik dalaman Umno. 

Katanya, Idris tidak berlaga angin dengan Sulaiman dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka Ab Rauf Yusoh, yang juga speaker DUN Melaka.

Sumber berkata hubungan mereka tambah merosot selepas ada desas-desus Rauf mahu menggugurkan Idris daripada pilihan raya umum akan datang selepas kalah pemilihan Umno Tangga Batu pada 2018.

“Ini misi hidup mati Idris,” kata sumber.

Ini adalah kali kedua PH bekerjasama dengan Umno menjatuhkan kerajaan negeri.

Pada Disember 2020, wakil rakyat Umno menggerakkan usul undi percaya terhadap bekas menteri besar Perak Ahmad Faizal Azumu yang disokong oleh wakil rakyat DAP. Faizal, yang juga timbalan presiden Bersatu, letak jawatan menteri besar selepas kalah undi percaya. – 5 Oktober, 2021.

Iklan
Iklan