Sedikit saja guru yang enggan divaksin, kata NUTP
Iklan
HANYA segelintir saja guru yang enggan mengambil vaksin Covid-19, kata persatuan guru.
Mereka berkata pengambilan vaksin tidak boleh dipaksa dalam keadaan di mana guru berkenaan mempunyai masalah kesihatan yang menyebabkan mereka tidak boleh mengambil vaksin.
Bagi mereka yang enggan mengambil vaksin kerana silap menerima maklumat, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mengambil tindakan bersesuaian dalam mengendalikan kes seperti ini, kata mereka.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Wang Heng Suan berkata JPA sudah mengarahkan guru divaksin sebelum 1 November atau berdepan tindakan disiplin.
Menurut data NUTP, hanya 100 daripada 230,000 guru di negara ini yang enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19.
Sesetengah daripada mereka yang enggan menerima vaksin kini mempertimbangkan untuk bersara awal, kata Wang.
“Ada kira-kira 100 guru yang tidak mahu divaksin. Ada yang beri alasan agama sementara yang lain tidak mendapat maklumat tepat tentang vaksin dan epidemik ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Jika guru ini sudah mengampiri usia persaraan, mereka boleh bersara awal dan menerima pencen. Mereka yang tidak ada pilihan ini, perlu mempertimbangkan untuk mengambil vaksin.
“Memandangkan JPA berkata akan ambil tindakan terhadap mereka yang enggan divaksin, ada guru mengadu agak terbeban untuk mohon bersara awal.”
Pada Isnin, sesi persekolahan secara bersemuka bermula membabitkan 47,000 pelajar di Terengganu, Kelantan dan Langkawi, yang kini berada di bawah Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Kelas dijalankan dengan kapasiti 50% bagi mengelak sekolah terlalu penuh dan untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dapat dipatuhi.
Menteri Pendidikan Mohd Radzi Jidin berkata setakat 4 Oktober, 94% guru sudah divaksin.
Sementara itu, guru yang enggan divaksin tidak akan dibenarkan mengajar di kelas atau ada interaksi secara fizikal dengan pelajar.
Kementerian Pendidikan memberikan kelonggaran kepada guru yang tidak boleh divaksin atas sebab masalah kesihatan. – 6 Oktober, 2021.
Berita penuh di sini.