Derma kaburi aktiviti ubah wang haram Zahid, kata pendakwaan
Iklan
AHMAD Zahid Hamidi menggunakan organisasi amalnya Yayasan Akalbudi dan Yayasan Al-Falah untuk mengaburi skim pengubahan wang haramnya, kata pendakwaan dalam perbicaraan presiden Umno itu hari ini.
Dermawan yang secara senyap-senyap menyumbangkan sejumlah besar wang kepada Yayasan Akalbudi adalah “pelobi dan mencari kesempatan”, kata Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffrey Ong di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Tertuduh mendapatkan wang menggunakan kedudukan dan pengaruhnya dengan menggunakan nama yayasan untuk tujuan amal.
“Tertuduh boleh meminta semua penderma menamakan salah satu yayasan sebagai penerima semua cek tersebut.
“Kedua-dua yayasan itu mempunyai perniagaan yang sama dan secara aktif menyertai dalam apa yang disebut sebagai badan amal,” kata Ong.
Ong berkata bukti dalam perbicaraan menunjukkan perbincangan antara Zahid, yang merupakan bekas timbalan perdana menteri dan bekas menteri dalam negeri bersama dermawan dilakukan secara tertutup.
“Sepanjang perbicaraan, saksi memberi keterangan mereka menyumbangkan sejumlah besar wang kepada tertuduh tanpa bukti penerimaan atau dokumen sokongan yang menunjukkan wang itu memang merupakan sumbangan.
“Tidak ada ketelusan dalam perbincangan. Tidak ada catatan atau permohonan pengecualian cukai yang dibuat. Semuanya dilakukan senyap-senyap untuk tujuan yang hanya diketahui oleh mereka.
“Semua sumbangan tersebut akhirnya berada dalam akaun Lewis & Co (pemegang amanah Yayasan Akalbudi) dan bukan dana amal yang betul,” kata Ong.
Semalam Mahkamah Tinggi diberitahu Zahid mengatur skim pengubahan wang haram berjumlah RM7.5 juta menggunakan perkhidmatan pengurup wang untuk mengubah wang menjadi cek dan akhirnya dimasukkan ke dalam pelbagai akaun simpanan tetap.
Harris berhujah pengurup wang Omar Ali Abdullah sebagai ejen, mendapat arahan daripada Zahid untuk menukarkan RM7,511,250.20 menjadi 35 cek, dan kemudian cek itu diserahkan kepada Tetuan Lewis & Co, pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik bekas timbalan perdana menteri (Zahid).
Harris berkata dana itu kemudian dimasukkan ke dalam pelbagai akaun simpanan tetap.
Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah jenayah, lapan pertuduhah rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.
Perbicaraan diteruskan pada Isnin ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah.– 6 Oktober, 2021.