Iklan

Tiada beza Umno baru atau lama, kata pemimpin

Mohd Farhan Darwis3 years ago7th Oct 2021Berita
Umno agm 20210327 hasnoor 020
Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berhasrat untuk 'menzahirkan semula Umno 1946' serta mengembalikan jiwa dan semangat Umno yang asal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2021.
Iklan

TIADA keperluan untuk Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah “menghidupkan” semula Umno asal memandangkan parti Melayu itu kekal utuh dan tiada beza dengan parti baharu cadangannya, kata pemimpin parti.

Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Aziz berkata Tengku Razaleigh tiada alasan untuk menghidupkan kembali Umno yang sudah diharamkan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada 1988.

“Kalau kata nak pulihkan Umno lama dia (Tengku Razaleigh) juga yang suruh batalkan pendaftaran Umno lama.

“Umno sekarang ke, Umno zaman Dr Mahathir (Mohamad) ke tetap Umno, tiada Umno baru atau lama. Umno lama Ku Li sendiri yang dah kuburkannya,” kata Nazri, merujuk panggilan Tengku Razaleigh.

Nazri menegaskan Umno dahulu dan Umno sekarang masih juga parti yang sama.

“Apa bezanya antara Umno sekarang dengan Umno dulu, bezanya sekarang mungkin ahli dahulu dah mati,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Umno diharamkan oleh mahkamah pada 4 Februari 1988, susulan pertikaian yang berbangkit berhubung pemilihan parti setahun sebelum itu melibatkan pertembungan antara Tengku Razaleigh yang mencabar Dr Mahathir untuk jawatan presiden.

Sekumpulan penyokong Tengku Razaleigh mempertikaikan keputusan pemilihan parti dengan alasan ada cawangan yang tidak berdaftar yang terlibat dalam pemilihan, dan mereka mendesak satu pemilihan semula.

Pada 21 September lalu, semasa berucap di Dewan Rakyat, Tengku Razaleigh membangkitkan semula sejarah lebih tiga dekad itu. Katanya, tindakan pengharaman Umno pada 1988 bukan persoalan undang-undang tetapi persoalan politik.

Menurut Tengku Razaleigh, beliau berhasrat untuk “menzahirkan semula Umno 1946” serta mengembalikan jiwa dan semangat Umno yang asal.

Tengku Razaleigh Hamzah pada 21 September lalu berkata  tindakan pengharaman Umno pada 1988 bukan persoalan undang-undang tetapi persoalan politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2021.

Nazri beranggapan Tengku Razaleigh menyesal kerana secara tidak langsung terbabit mengharamkan Umno tiga dekad lalu. 

“Mungkin dia rasa bersalah… tetapi bagi saya tiada beza Umno sekarang atau dulu, Umno tetap Umno, bertambah kuat dengan keahlian lebih tiga juga orang,” kata Nazri.

Nazri juga tidak menolak kemungkinan Tengku Razaleigh berpendirian begitu kerana kecewa Umno tidak menamakannya sebagai calon perdana menteri selepas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin letak jawatan perdana menteri pada 16 Ogos.

Umno sebaliknya menamakan naib presidennya Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri, yang kemudian mengangkat sumpah jawatan pada 21 Ogos.

“Dia (Tengku Razaleigh) memang kecewa tak dinamakan calon Umno sebagai perdana menteri masa nak bentuk kerajaan sewaktu Muhyiddin jatuh. 

“Tidak ada alasan sebenarnya (untuk hidupkan semula Umno 1946), pada saya Umno tetap sama.

“Saya juga ahli Umno yang lama, ramai kalangan pemimpin Umno sekarang ahli Umno lama, ahli yang beri roh kepada Umno, Umno dulu atau sekarang serupa sahaja,” kata Nazri.

Oleh itu, beliau berkata Umno tidak seharusnya terus melayan Tengku Razaleigh, yang sudah secara jelas menjarakkan dirinya daripada parti.

“Kita bukan buang dia… dia yang keluarkan diri, kita anggap dia bukan ahli Umno sahaja.

“Sepatutnya kalau dia dah minta untuk tak duduk bersama dengan kita Umno dan tak beri sokongan kepada Ismail Sabri calon perdana menteri Umno, itu maksudnya dah tarik diri. 

“Kalau dah tidak diambil tindakan, kita tak anggap dia sebagai ahli… itu sahaja,” kata Nazri lagi.

Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Aziz beranggapan Tengku Razaleigh Hamzah menyesal kerana secara tidak langsung terbabit mengharamkan Umno tiga dekad lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2021.  

Sementara itu, Exco Pemuda Umno Bastien Onn ketika dihubungi The Malaysian Insight berpendapat ahli Umno asal juga sudah boleh menerima hakikat pertubuhan itu sudah diganti dengan Umno yang ada hari ini.

Ketua Pemuda Umno Segamat berkata amat sukar untuk membezakan antara kedua-dua pertubuhan sementara kebanyakan ahli Umno sendiri pun sudah melupakan episod tiga dekad lalu.

“Banyak ahli dah ‘move on’. Umno lama dan baru ini susah nak dibezakan sebab sejumlah besar ahli Umno lama yang sudah menjadi ahli kepada Umno baru,” katanya.

Bastien juga berkata ahli Umno tidak boleh menjadi ahli kepada dua parti.

“Mana-mana ahli parti Umno yang cuba nak tubuh parti lain bermakna dia secara automatik akan menjadi parti lawan. Tiada istilah dwi-keahlian,” tegasnya.

Seorang pemimpin Umno yang enggan dinamakan berpendapat sekiranya Tengku Razaleigh meneruskan niatnya, beliau tidak boleh menggunakan nama Umno malah mungkin sukar mendapatkan kelulusan pendaftar pertubuhan.

“Dia nak buat parti baru nak letak nama apa, Umno sekarang masih utuh, lebih baik daripada Tengku Razaleigh punya Umno.

“Lagipun siapa yang nak luluskan? Sebab sekarang dah ada nama Umno, mana boleh pakai nama Umno sama. Nak tubuh Semangat 46 tubuhlah, siapa pun tidak kisah,” katanya.

Sehari sebelum ucapan di Dewan Rakyat itu, Tengku Razaleigh letak jawatan pengerusi Jemaah Penasihat Umno atas alasan kecewa dengan kepimpinan Umno hari ini. – 7 Oktober, 2021.

Iklan
Iklan