Strategi PAS sokong penyandang untungkan Umno, kata penganalisis
Iklan
UMNO akan untung banyak dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya PAS menyokong penyandang di kerusi yang berlaku pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), kata penganalisis.
Umno menyandang kebanyakan kerusi Parlimen yang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata mereka, sebelum sekumpulan ahli Parlimen parti itu melompat masuk Bersatu.
Pensyarah politik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali berpendapat pendirian PAS yang dibayangkan oleh timbalan presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man menunjukkan seolah-olah parti Islam itu masih ragu akan hubungan mereka dengan PN.
“Sekiranya situasi itu berlaku Umno akan perolehi kelebihan kerana Umno penyandang kebanyakan kerusi yang pada asalnya dimenangi Umno, malah beberapa ahli Parlimen Bersatu itu kerusinya Umno.
“Kalau PAS sokong penyandang sudah pasti PAS terpaksa menyokong calon Umno kerana Umno pemilik lebih banyak kerusi Parlimen sedia ada,” kata Mazlan, kepada The Malaysian Insight.
Beliau mengulas kenyataan Tuan Ibrahim yang memberi reaksi terhadap kemungkinan pertembungan tiga penjuru pada PRU15 selepas Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata keadaan itu tidak lagi dapat dielak sekiranya Umno tetap enggan bekerjasama dengan partinya.
Mazlan menganggap kenyataan Tuan Ibrahim itu tidak jelas dan boleh menyulitkan hubungan antara PAS dengan Umno dan Bersatu.
“PAS nampak tiada komitmen sepenuhnya dengan Bersatu sedangkan sepatutnya PAS sokong semua calon Bersatu jika ada pertembungan kerana PAS komponen PN,” kata Mazlan.
Beliau juga melihat pendirian Tuan Ibrahim itu akan mengelirukan ahli PAS sendiri, untuk memilih Umno atau Bersatu.
“Ahli PAS juga tersepit sekarang, nak sokong mana, Bersatu atau Umno, akan timbulkan kekeliruan dan salah faham kepada ahli,” katanya.
Masih mahu jaga Muafakat Nasional
Sementara itu, pensyarah politik di Universiti Malaya Dr Awang Azman Awang Pawi berpendapat kenyataan Tuan Ibrahim menunjukkan PAS masih mahu menjaga hubungan dengan Umno dan pada masa sama, bekerjasama dengan Bersatu.
PAS dan Umno menjalin kerjasama atas nama Muafakat Nasional pada September 2019 tetapi parti Islam itu setahun kemudian bersama Bersatu mengasaskan PN.
“Strategi PAS dilihat cuba bermain dua kolam sebagai jalan politik selamat namun pasti tidak disukai oleh parti-parti lain malah menghilangkan kepercayaan pengundi terhadap PAS. Ini pasti akan dinilai dalam bentuk sokongan undi.
“Tindakan ini tetap tak mengharmonikan Bersatu dan Umno tetapi dilihat cuba diambil kesempatan oleh PAS,” kata Awang Azman.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini membayangkan kerjasama partinya dengan PAS sudah berakhir.
Bagaimanapun Awang Azman melihat PAS hanya akan membuat pendirian sebenar setelah menilai untung ruginya sendiri, sama ada bersama Bersatu atau Umno, selepas Parlimen bubar untuk PRU15.
“Ini menunjukkan wajah politik PAS yang nanti bakal sukar dimaafkan oleh Umno dan Bersatu,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Ilham Center Hisomuddin Bakar pula berpandangan Tuan Ibrahim tidak wajar membuat kenyataan strategi PAS yang mendahului PN.
Kenyataan itu nampak positif untuk meredakan kekusutan menyelesaikan tuntutan kerusi Parlimen yang bertindih namun hakikatnya merugikan PN, katanya.
“Secara automatik ia menguntungkan Umno berbanding rakan komponen PN bersama PAS iaitu Bersatu. Kebanyakan kerusi ini melibatkan ahli Parlimen BN yang melompat ke Bersatu.
“Dari segi praktikal, ada asasnya iaitu kerusi yang dimenangi penyandang kekal milik mereka, sementara rundingan hanya melibatkan kerusi yang bukan milik PN dan BN.
“Tetapi dalam konteks perkembangan semasa setakat ini, kenyataan Zahid telah pun menolak kerjasama dengan PN serta memberi bayangan MN juga sudah tidak wujud,” kata Hisomuddin.
Beliau juga melihat setakat ini tiga parti Melayu itu masih gagal menyelesaikan isu kerjasama mereka, baik sekarang mahupun untuk PRU15 nanti.
“Kesannya, setakat ini akan berlaku pertembungan antara PN dan BN.
“Jika senario ini berlaku, mungkin akan wujud sekurang-kurangnya persaingan tiga penjuru di 165 kawasan pilihan raya di Semenanjung Malaysia,” tambahnya. – 8 Oktober, 2021.