Iklan

Zahid mohon pasport dari mahkamah untuk dapatkan rawatan di Jerman

Hailey Chung Wee Kye3 years ago7th Oct 2021Berita
Zahid hamidi october 7, 2021 afif 02
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memohon mahkamah melepaskan pasportnya buat sementara waktu untuk membolehkannya ke Jerman mendapatkan rawatan perubatan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 7 Oktober, 2021.
Iklan

PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi membuat permohonan mendapatkan pasportnya di Mahkamah TInggi Kuala Lumpur dan Shah Alam untuk membolehkannya ke Jerman bagi mendapatkan rawatan perubatan, kata peguamnya hari ini.

Peguam Hamidi Mohd Noh memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah rawatan diterima anak guamnya ketika ini di Malaysia hanya untuk mengurangkan sakit dan Zahid memerlukan pemeriksaan pakar di Munich, Jerman.

“Beliau pada awalnya dirawat doktor berkenaan pada 2014 dan 2016. Rawatan pada masa ini tidak cukup dan beliau masih sakit,” kata Hamidi ketika pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Peguam kemudian memberitahu media di luar mahkamah Zahid memerlukan pasportnya dari 26 Oktober hingga 21 November, dan mengesahkan tiada tarikh perbicaraan sepanjang tempoh itu.

Bagaimanapun, Hamidi berkata ia akan mengganggu tarikh perbicaraan kes Zahid yang ditetapkan pada 18 dan 19 November di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Timbalan Pendakwa Raya Gan Peng Kun hari ini memberitahu mahkamah pihaknya tidak menerima arahan untuk membantah permohonan berkenaan.

Collin, yang juga hakim mengendalikan perbicaraan kes Zahid berkata beliau akan memberi keputusan berkenaan permohonan itu pada Isnin depan.

Zahid, 68, pada masa ini berdepan 47 pertuduhan – 12 tuduhan pecah amanah, 27 kes pengubahan wang haram, dan lapan kes rasuah – membabitkan puluhan juta ringgit berkaitan dana yayasan amalnya, Yayasan Akalbudi.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga didakwa bagi kes rasuah secara berasingan membabitkan 40 pertuduhan di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Kes berkenaan didengar di hadapan Hakim Mohd Yazid Mustafa. – 7 Oktober, 2021.

Iklan
Iklan