Iklan

Peluang Umno menang PRU15 cerah tanpa Perikatan, kata penganalisis

Diyana Ibrahim3 years ago10th Oct 2021Berita
Umno general assembly epa 041217  full
Umno kuasai kelebihan populariti, kekuatan akar umbi dan kesetiaan pengundi Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2021.
Iklan

UMNO berpeluang cerah untuk menang lebih banyak kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jika bergerak sendirian tanpa bersama gabungan Perikatan Nasional (PN), kata penganalisis.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, jangkaan itu berdasarkan fakta bahawa Umno menguasai kelebihan seperti kekuatan akar umbi dan kesetiaan pengundi Melayu kepada parti itu.

Malah keupayaan Umno menguasai kerajaan semula dengan naib presidennya Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri juga menjadi antara kelebihan parti tersebut, kata penganalisis politik.

Pengkaji Universiti Teknologi Malaysia Mazlan Ali berpendapat Umno tiada masalah bergerak sendirian kerana parti itu menguasai sokongan kira-kira 38% pengundi Melayu.

“Deposit tetap Umno (pengundi Melayu) adalah besar dan disebabkan itu jika Umno bergerak sendirian parti itu boleh menang banyak kerusi,” katanya.

Beliau mengulas perkembangan yang timbul selepas Pengerusi PN Muhyiddin Yassin pada minggu lalu mengumumkan gabungan itu akan memulakan rundingan kerusi tanpa melibatkan Umno.

Muhyiddin yang juga presiden Bersatu mengumumkan demikian kerana Umno tidak memberikan sebarang petunjuk sama ada mahu menyertai rundingan berkenaan.

Menurutnya lagi, PN akan memulakan rundingan kerusi antara lima parti komponen Bersatu, PAS, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) minggu ini.

Bagi Semenanjung, Muhyiddin berkata rundingan agihan kerusi hanya libatkan Bersatu, PAS dan Gerakan sahaja.

Pengumuman itu disambut baik pemimpin Umno yang berpendapat ia akan memudahkan mereka memandangkan PN tidak mempunyai kekuatan akar umbi.

Pengundi baharu penentu PRU15

Mazlan Ali berpendapat Umno tiada masalah bergerak sendirian kerana parti itu menguasai sokongan kira-kira 38% pengundi Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2021.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata jangkaan ke atas kemenangan Umno bagaimanapun bergantung kepada cara parti itu mempengaruhi pengundi muda yang bakal menjadi penentu PRU15.

Ia melibatkan lebih 4.5 juta pemilih yang akan mengundi buat pertama kali selepas mencecah usia 21 tahun kalu ini, dan juga pengundi 18 tahun buat pertama kali diizinkan mengundi.

Beliau juga yakin Umno mampu menarik sokongan pengundi muda walaupun ramai berpendapat golongan itu cenderung menyokong pembangkang.

“Umno boleh mempengaruhi pengundi muda kerana mereka tidak semestinya menyokong pembangkang, tapi ada golongan muda terutama di luar bandar yang semangat nasionalisme, Melayu Islam sangat tinggi.

“Mereka ini mempunyai potensi menyokong Umno. Kepelbagaian orang muda ini mempunyai banyak kategori – ada yang tak peduli politik dan ini dipanggil kategori pengundi sempit.

“Mereka ini pengundi yang (jika) bagi saja duit akan sokong parti itu. Seperti Umno parti yang banyak dana jadi ia boleh mempengaruhi pengundi dengan kebendaan,” katanya.

Penganalisis Azmil Tayeb juga melihat Umno tidak kisah bergerak sendirian dalam PRU15 kerana mempunyai kelebihan dari segi jentera, sokongan akar umbi dan pengalaman pentadbiran.

Penganalisis Universiti Sains Malaysia (USM) itu bagaimanapun tidak percaya ia akan memberi peluang untuk Umno menang mudah.

Ini kerana perkembangan politik hari ini menyaksikan undi Melayu yang berpecah termasuk sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) juga perlu diambi kira.

“Tapi Umno tidak berhadapan dengan masalah besar bertanding di kawasan yang telah dipegang turun-temurun (kerusi tradisi)

“Kelebihan Umno adalah ia satu entiti yang dikenali. Dalam situasi undi pecah, orang Melayu akan cenderung memilih Umno kerana ia parti yang mempunyai reputasi dan sudah bertapak lama.”

Dengan itu, gabungan PAS dan Bersatu pula tidak akan dapat memberi cabaran sengit kepada Umno, katanya lagi.

Seorang lagi penganalisis Prof Awang Azman Awang Pawi pula berkata Umno mempunyai lebih banyak manfaat sekiranya berlaku pertembungan kerana kerajaan pusat kini bawah penguasaan Umno.

“Kalau gabungan PN (PAS, Bersatu) undi Melayu akan lebih kepada Umno,” kata penganalisis Universiti Malaya itu.

Jelasnya, kawasan seperti  di Pantai Timur akan memberi kelebihan kepada PAS, manakala PH lebih berpeluang di  Melaka dan Negeri Sembilan.

“Tapi kena lihat juga jumlah pengundi. Misalnya selagi undi Melayu mewakili 45% peluang Umno memang tinggi (menang PRU15),” katanya. – 10 Oktober, 2021.

Iklan
Iklan