Iklan

Malaysia masih boleh tuntut Pulau Batu Puteh, kata bekas peguam negara

Chan Kok Leong3 years ago11th Oct 2021Berita
Iklan

MALAYSIA masih boleh mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkenaan semakan dan pentafsiran semula undang-undang pertikaian kedaulatan Pulau Batu Puteh antara Malaysia dan Singapura, kata Mohamaed Apandi Ali. 

“Kita masih ada kes,” kata bekas peguam negara itu kepada The Malaysian Insight selepas kerajaan mengumumkan pembentukan pasukan petugas khas bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan pilihan bersesuaian berkenaan kes Pulau Batu Puteh yang turut dikenali sebagai Pedra Branca di Singapura.

“Saya mempunyai pasukan Peguam Diraja dan pakar undang-undang yang menasihati kami untuk mengajukan semakan terhadap keputusan yang dibuat pada 2008,” katanya yang berusia 71 tahun itu.

Apandi yang mengajukan semakan terhadap keputusan ICJ pada 2017 berkata Malaysia masih mempunyai alasan yang kukuh untuk membuat semakan dan pentafsiran semula keputusan berkenaan.

“Bagaimanapun saya tidak dapat bercakap banyak ketika ini kerana saya belum membentuk pasukan pakar secara rasmi seperti yang baru diumumkan semalam.

“Jadi beri kami sedikit masa untuk meneliti perinciannya,” kata bekas hakim Mahkamah Rayuan itu.

Apandi juga berkata jawatankuasa itu juga akan mengkaji “kecuaian” pihak bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Apabila kerajaan memutuskan untuk menarik semula rayuan (pada 2018), Dr Mahathir tidak meminta pandangan saya sebagai Peguam Negara atau Kabinet. Itu adalah keputusan sepihak.

“Pasti ada kecuaian di pihaknya,” kata Apandi.

Ditanya sama ada sebelum ini ada bekas menteri kabinet dipertanggungjawabkan kerana kecuaian, Apandi menjawab “Kita tak perlukan kes terdahulu dalam hal ini”.

“Dia melanggar undang-undang dan dia harus bertanggungjawab,” katanya.

Pada 9 Mei 2003, Malaysia dan Singapura bersetuju merujuk pertikaian berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh dan dua maritim berdekatan, Batuan Tengah dan Tubir Selatan kepada ICJ.

Pada 2008, ICJ memberikan kedaulatan Pulau Batu Puteh kepada Singapura. Mahkamah memutuskan Batuan Tengah adalah milik Malaysia sementara Tubir Selatan menjadi milik negara di mana perairan mana pulau itu terletak.

Pada Julai 2017, Malaysia juga mengemukakan permohonan semakan dan penafsiran terhadap ICJ berkenaan isu pertikaian kedaulatan Pulau Batu Puteh antara Malaysia dan Singapura.

Tetapi tidak lama selepas Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum pada 2018, Dr Mahathir mengumumkan Malaysia akan menerima keputusan ICJ dan tidak akan mengemukakan semakan dan penafsiran keputusan pada 2008. – 11 Oktober, 2021.

Iklan
Iklan