83% pelajar IPT lengkap vaksinasi, kata Noraini
Iklan
KIRA-kira 83% atau 951,739 pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) telah melengkapkan vaksinasi setakat 1 Oktober, kata Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad hari ini.
“Setakat 1 Oktober, 83% atau 951,739 daripada 1.15 juta pelajar institusi pengajian tinggi telah divaksin sepenuhnya, manakala 90% kakitangan institusi ini juga telah melengkapkan vaksinasi,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
“Terdapat juga 2,286 pelajar atau 0.2% yang masih belum divaksin kerana masalah kesihatan, setakat 8 Oktober.”
Beliau menjawab soalan Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir (Johor Bahru - PH) dan Syed Saqqid Syed Abdul Rahman (Muar - Bebas) berhubung kadar vaksinasi dalam kalangan pelajar universiti.
Institusi pengajian tinggi di seluruh negara akan dibuka secara berperingkat bermula 15 Oktober.
Bagi memudahkan pelajar kembali ke kampus, Noraini berkata kementerian telah merangka pelan bersama Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan juga syarikat penerbangan.
“Pelan ini termasuk menguruskan pelajar untuk kembali ke kampus secara berperingkat, pembelajaran bersemuka, pembelajaran dalam talian, prosedur operasi standard untuk perjalanan dalam dan luar kampus, pelan mitigasi bagi pelajar positif dan pelajar tidak bergejala, antara lain.”
Menurutnya apabila pelajar kembali pada 15 Oktober, mereka perlu menggunakan kit ujian kendiri Covid-19 bagi memantau dan mengekang penularan wabak, katanya.
“Mereka juga akan diuji. Mereka yang didapati positif atau kontak rapat akan dikuarantin dan pengajian mereka akan disambung dalam talian.
“Sekiranya terdapat keperluan untuk tutup kampus, keputusan itu akan dibuat selepas disyorkan KKM.” – 11 Oktober, 2021.