Pandora Papers bukan aliran keluar wang haram, kata Azhar
Iklan
PANDORA Papers adalah mengenai pegangan saham yang dimiliki syarikat luar pesisir dan bukan mengenai aliran keluar wang haram, kata Azhar Azizan Harun.
“Setahu saya, Pandora Papers bukan mengenai aliran keluar ratusan juta wang haram dari Malaysia. Ini adalah pegangan saham syarikat luar pesisir.
“Ini dua perkara berbeza,” kata Speaker Dewan Rakyat ketika beliau menolak usul Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim (Port Dickson - PH) untuk membahaskan Pandora Papers di Parlimen untuk kali kedua.
Azhar berkata beliau sudah melihat Pandora Papers sambil menambah beberapa pegangan saham adalah kecil.
“Pegangan saham ini bahkan tidak berjuta-juta (seperti yang dituntut oleh Anwar),” katanya.
Bagaimanapun Anwar menegaskan pegangan saham itu pasti keluar dari aliran keluar wang haram dari Malaysia.
“Mengapa speaker nak jadi peguam kepada perasuah-perasuah ini? Kenapa? Saya ada dokumen dan bagaimana seorang menteri boleh simpan saham di sana begitu banyak (wang) ini dari mana dari langit? Itu bermakna dari sini, wang yang dibawa keluar, ratusan bilion, saya tak faham kenapa nak jadi peguam bagi orang-orang ini.
“Kalau betul hanya lima pound bahas di sini. Sumber saya bukan sekadar di media, sumber saya lebih daripada itu, sebab itu saya nak bawa perkara ini ke Parlimen untuk dibahaskan,” kata ketua pembangkang tanpa memberikan bukti.
Pandora Papers merupakan pendedah fail kewangan sulit sebesar 2.94 terabyte kepada International Consortium of Investigative Journalist (ICIJ) melibatkan pemimpin dunia, ahli politik, hartawan, selebriti dan beberapa yang lain dilaporkan menyembunyikan wang serta pelaburan mereka.
Pendedahan ini terdiri daripada lebih 11.9 juta dokumen dan rekod dari 14 penyedia perkhidmatan luar pesisir yang menubuhkan serta menguruskan syarikat shell dan pemegang amanah di tempat perlindungan cukai di seluruh dunia.
Bagaimanapun data tersebut tidak menunjukkan kesalahan pihak pendeposit.
Antara yang disebut dalam Pandora Papers adalah Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi, bekas menteri kewangan Daim Zainuddin dan ahli Parlimen Selayang William Leong. – 11 Oktober, 2021.