Tumbang kerajaan Melaka untuk cegah mungkar, kata bekas KM
Iklan
BEKAS ketua menteri Melaka Idris Haron tidak menyangka tindakan beliau dan tiga lagi wakil rakyat menarik sokongan menyebabkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan serta-merta.
Katanya, mereka pada awalnya merancang penarikan sokongan ke atas Ketua Menteri Sulaiman Md Ali itu untuk menyelamatkan Umno bagi mencegah lebih banyak masalah.
Namun perkara sebaliknya berlaku kerana pembubaran tersebut menyebabkan pilihan raya negeri perlu dijalankan, katanya dalam wawancara dengan The Malaysian Insight.
“Apa yang berlaku ini tujuan awalnya nak selamatkan Umno supaya Umno menjadi pilihan rakyat.
“Menjatuhkan kerajaan itu mencegah kemungkaran hanya melibatkan 28 Adun. Pembubaran tanpa proses itu melibatkan pengundi seluruh Melaka. Siapa yang bermain politik di sini,” kata Idris.
Katanya, DUN Melaka sepatutnya tidak dibubarkan kerana masih ada cara lain untuk membentuk kerajaan baharu.
“Kamu hilang majoriti, biar kerajaan baru dan (kemudian baru) masuk pilihan raya….ia hanya antara kami 28 orang (Adun)... Tapi berkeras tak mahu. Apa ceritanya, itu yang kita pelik.”
Jelasnya, ia bertujuan untuk membetulkan keadaaan dengan menumbangkan ketua menteri dengan prestasi buruk dan tidak wajar ditangani dengan pilihan raya.
“Maknanya kita kata (prestasi ketua menteri tidak baik), kita nak betulkan dari dalam tak boleh kerana ia akan berulang kembali.
“Kami ingat cara ini boleh betulkan juga tapi mereka ada helah… Bubar dahulu baru fikir.
“Inilah sikap kerajaan main tangkap muat. Mana boleh. Kita ada undang-undang, mana boleh urus macam ini,” kata Idris.
Selain untuk menangani Sulaiman, Idris juga berkata tindakan menarik sokongan itu juga untuk menyelesaikan isu melibatkan Pengerusi Perhubungan Umno Melaka Ab Rauf Yusuf.
Bekas ketua menteri Melaka itu menambah, pihaknya pernah mengadu kepada pimpinan atasan Umno berhubung tindak-tindak Rauf yang didakwanya mencampuri urusan pentadbiran negeri.
Namun begitu, Idris berkata aduan ke atas speaker DUN Melaka tersebut tidak diendahkan dan parti bertindak memecatnya selepas mengambil tindakan tersebut.
“Macam mana nak (promosi) Umno atau BN bila ada karakter seperti ini, saya khuatir Umno ditolak rakyat, ini yang saya beritahu perdana menteri.
“Kalau benarkan karakter ini berada dalam struktur Umno, Umno tidak lagi jadi pilihan rakyat,” katanya.
Beliau juga kesal kerana dipecat dari parti walau tindakannya itu bertujuan untuk menyelamatkan Umno.
“Tujuan awal saya nak selamatkan parti, tapi parti ambil tindakan pecat saya, parti ambil tindakan terpilih,” kata Idris.
Beliau menarik sokongan ke atas Sulaiman pada Isnin lalu bersama Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas).
Ia menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama Barisan Nasional (BN) yang menguasai 13 kerusi.
Pembangkang Pakatan Harapan (PH) menguasai 11 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN Melaka.
Peralihan sokongan Idris dan tiga lagi Adun itu bakal membentuk majoriti baharu sekiranya mereka memilih untuk bersama PH.
Mengulas lanjut, Idris berkata beliau kesal kerana pemimpin Umno tersebut masih menganggap mereka sebagai musuh selepas kehilangan majoriti.
“Awak minoriti 13 orang, kita 15 orang. Kemudian semua kami berempat dianggap sebagai musuh negeri, ini negeri koboi ke?”
Katanya, pembubaran DUN juga akan membawa kepada ketidaktentuan dan malapetaka sedangkan kuasa boleh diserahkan kepada pihak yang dapat membentuk majoriti.
“Kenapa tak beri kita tadbir kerana kita ada majoriti?” tambah Idris.
Pilihan raya negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tempoh pembubaran pada 5 Oktober.
Keputusan sama ada pilihan raya tersebut akan diadakan bagaimanapun masih belum ditetapkan Kabinet.
Bagaimanapun, Putrajaya sudahpun menyediakan ketetapan bagi mengawal penularan Covid-19 sekiranya pilihan raya negeri tersebut dilaksanakan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin. – 12 Oktober, 2021.