Iklan

Projek tambak laut tertib waktu jadi ketua menteri, kata Idris Haron

Melaka gateway 20211009 hasnoor 003
Melaka Gateway merupakan salah sebuah projek dalam gagasan utama Belt and Road Initiave yang digembleng negara China yang dimulakan pada Oktober 2017. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 12 Oktober, 2021.
Iklan

PROJEK tambakan laut mega di Melaka yang kini disiasat agensi antirasuah berjalan dengan tertib dan tersusun mengikut peraturan pada peringkat awal, kata bekas ketua menteri Idris Haron.

Adun Sungai Udang itu berkata, keadaan sebaliknya berlaku apabila projek diserahkan kepada syarikat yang baharu ditubuhkan selepas pentadbiran negeri diambil alih.

Dakwanya, ia berlaku apabila projek RM43 bilion untuk membina Melaka Gateway itu diserahkan kepada syarikat yang baharu ditubuhkan dan meragukan.

“(Hari ini) projek tambakan laut besar beri kepada syarikat luar negara yang tak bertaraf yang hanya baru tubuh dua bulan, modal berbayar SGD200 (RM617).

“Rakyat nak minta tanah sekangkang kera pun macam nak mampus, ini kena berubah dan diubah. Berbanding isu kita bangkitkan ini berkaitan isu integriti dan moral, mencuri royalti pasir.

“Kita pemimpin nasihatkan rakyat jadi amanah tapi kita tipu kerajaan pusat dengan nilai jutaan ringgit,” kata Idris yang tidak menamakan syarikat terlibat.

Isu yang ditimbulkannya itu menjadi antara alasan untuk beliau dan tiga lagi wakil rakyat menarik sokongan daripada menyokong kerajaan pimpinan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

Tindakan beliau dan Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) itu menyebabkan kerajaan Melaka tumbang minggu lalu.

Susulan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengumumkan akan bertemu Idris bagi mendapatkan butiran lanjut berkenaan dakwaan tersebut.

Bekas ketua menteri Idris Haron berkata projek membina Melaka Gateway diserahkan kepada syarikat yang baharu ditubuhkan dan meragukan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Oktober, 2021.

Mengulas kritikan bahawa projek tambakan laut juga berlaku di bawah pentadbirannya, Idris mengakuinya namun menjelaskan beliau hanya mengeluarkan surat sokongan dan bukan kelulusan.

Melaka Gateway merupakan salah sebuah projek dalam gagasan utama Belt and Road Initiave yang digembleng negara China yang dimulakan pada Oktober 2017.

Jelasnya, projek tambakan laut merupakan warisan turun-temurun yang dilaksanakan kerajaan sejak dimulakan sekitar tahun 70-an sebagai pemangkin kepada pembangunan koridor ekonomi Melaka.

“Zaman saya sudah pasti berlaku ia sesuatu yang kita warisi daripada kepimpinan terdahulu.

“Saya tak kata saya yang menyokong. Saya kata kerajaan negeri sokong, sayalah tandatangan (surat sokongan), saya ketua menteri. Ia tidak jadi pencetus kepada penyalahgunaan kuasa,” kata Idris.

Mengulas lanjut isu tambakan untuk Melaka Gateway itu, Idris menjelaskan, kes tersebut melibatkan pelbagai pihak dan lapisan termasuk Majlis Tanah Negara.

“Yang meluluskan projek Melaka Gateway adalah Majlis Tanah Negara, ia jawatankuasa yang dipengerusikan timbalan perdana menteri.

“Dalam mendapatkan kelulusan bukan mudah, mereka akan mengambil kira potensi kemajuan.

“Nak jadi ekonomi koridor kena ada sesuatu yang istimewa untuk pelabur, kita tawar tanah berstatus kekal tapi diluluskan Majlis Tanah Negara,” kata Idris.

Idris mentadbir Melaka sebagai ketua menteri sejak Mei 2013 sehingga negeri itu dirampas Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum ke-14 pada 2018.

Ia membolehkan pengerusi PH Adly Zahari mentadbir sebagai ketua menteri sehingga Februari 2020 apabila Putrajaya diambil alih kerajaan baharu Perikatan Nasional (PN).

Sewaktu pentadbirannya, Adly membatalkan perjanjian projek Melaka Gateway, antara tindakan dijalankan kerajaan PH berkaitan projek melibatkan pelaburan China.

Seterusnya pada Mac 2020, Adly hilang sokongan majoriti ekoran percaturan politik dan lompat parti oleh beberapa Adun dan tindakan Bersatu keluar dari gabungan PH.

Ia membolehkan Sulaiman mengambil alih sebagai ketua menteri baharu kerajaan PN sehinggalah pentadbiran itu tumbang minggu lalu dengan tindakan Idris dan tiga lagi Adun menarik sokongan.

Sebelum itu, pada Februari, Sulaiman menyelia perjanjian baharu syarikat kerajaan negeri Melaka bersama tiga syarikat bagi projek tambak laut, aktiviti maritim serta asrama pekerja asing.

Pada waktu itu, Sulaiman mengumumkan perjanjian melibatkan mukim Umbai itu bagi projek tambak laut seluas 182.1 hektar membabitkan kos keseluruhan RM1.5 bilion.

Susulan dakwaan Idris, agensi antirasuah mengumumkan siasatan dibuat ke atas isu pembolotan projek ekonomi dan menipu kerajaan persekutuan berkaitan royalti pasir di Melaka. – 12 Oktober, 2021.

Iklan
Iklan