Kapasiti ruang, pengudaraan faktor utama SOP Covid-19 fasa endemik, kata pakar
Iklan
KEPADATAN orang ramai di sesuatu tempat dan kualiti pengudaraan udara perlu menjadi pertimbangan utama ketika kerajaan memperkemas prosedur operasi standard (SOP) untuk Covid-19, kata pakar kesihatan.
Seorang bekas pegawai atasan dan pakar kesihatan awam berkata SOP yang dipermudahkan boleh diterapkan ketika Malaysia bergerak menuju keendemikan Covid-19, tetapi SOP lebih ketat perlu harus tetap ada di kawasan luar bandar dan negeri dengan kadar vaksinasi yang rendah.
Bekas timbalan ketua pengarah kesihatan Lokman Hakim Sulaiman juga berkata pengesanan segera kes dengan bergejala adalah penting dalam fasa endemik.
Katanya, faktor utama yang mesti dipertimbangkan oleh kerajaan dalam memperkemas SOP berdasarkan senario semasa adalah kapasiti tempat dan tahap pengudaraan.
Berbanding kawasan tertutup, ruang terbuka dianggap lebih selamat, walaupun terdapat banyak orang, dengan syarat terdapat penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka.
“Di pantai, risikonya sangat rendah walaupun tanpa pemakaian pelitup muka.
“Di United Kingdom, tiada penjarakan di stadium terbuka dengan kapasiti penuh tanpa pemakaian pelitup muka.”
Bagaimanapun, bukti vaksinasi lengkap adalah wajib dan pemeriksaan rambang perlu dilakukan untuk memastikan orang ramai mematuhi syarat vaksinasi.
Bagi persekitaran dalam tempat tertutup seperti pawagam, katanya kadar pengudaraan perlu bersekadar dengan kepadatan orang yang memenuhi ruang tersebut.
SOP lain yang diperkemas termasuklah larangan orang sakit pergi bekerja, sekolah dan tempat awam, kata Lokman.
Awal bulan lalu, Kementerian Kesihatan berkata pihaknya sedang dalam proses memudahkan SOP, memberi bayangan SOP akan lebih longgar apabila jumlah individu yang divaksin meningkat.
Semalam, Malaysia mencapai kadar 90% vaksinasi lengkap populasi dewasa dan 65.2% bagi jumlah keseluruhan penduduk.
Turut dilaksanakan serta-merta semalam adalah kebenaran rentas negeri dan penghapusan syarat MyTravelPass untuk rakyat Malaysia melancong ke luar negara.
Bagaimanapun, pelancong antarabangsa masih tidak dibenarkan masuk.
Lokman berkata tidak mengapa untuk memudah dan melonggarkan beberapa SOP kerana vaksinasi telah menurunkan risiko jangkitan dan kematian akibat Covid-19.
“Kita juga mulai mengimunisasi anak-anak berusia antara 12 hingga 17 tahun.
“Walaupun tanpa vaksinasi, anak-anak mempunyai risiko lebih rendah untuk dijangkiti. Dan jika mereka dijangkiti, risiko mati sangat rendah,” katanya, merujuk kepada kadar kematian kes di kalangan kanak-kanak di bawah usia 11 tahun, iaitu 0.02% di Kuala Lumpur dan 0% bagi remaja.
“Di kawasan bandar dengan penularan Covid-19 paling tinggi, saya percaya banyak kanak-kanak terdedah kepada jangkitan dan memperoleh tahap imuniti semula jadi,” tambahnya.
Lokman berkata kanak-kanak di luar bandar dan orang dewasa yang tidak divaksinasi di seluruh negara berisiko lebih besar terkena jangkitan.
Profesor ekonomi, hospital dan pengurusan kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Sharifa Ezat Wan Puteh juga bimbang dengan negeri yang mempunyai kadar vaksinasi rendah seperti Kelantan dan Sabah.
Kedua-dua negeri mempunyai jumlah vaksinasi penduduk hanya sedikit lebih daripada 48%.
“Oleh kerana ramai tidak divaksinasi, mereka mungkin berakhir dalam kategori teruk. Ini memberi kesan kepada remaja dan kanak-kanak di sana juga. Seharusnya ada lebih banyak program jangkauan atau bahkan kontraktor swasta di negeri ini,” katanya.
Selain perkara itu, Sharifa bersetuju SOP di kawasan lain boleh dilonggarkan kecuali peraturan paling penting seperti kerap mencuci tangan, pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal minimum satu meter.
Oleh kerana penyaringan Covid-19 kini lebih murah dengan kit ujian pantas Antigen (RTK-Ag) dan kit ujian kendiri, beliau meminta orang ramai melakukan saringan kendiri secara berkala.
Sharifa berkata adalah bagus kerajaan memudahkan SOP semasa untuk mengurangkan kekeliruan.
“Pada masa ini, terdapat begitu banyak SOP di pelbagai tempat atau negeri. Ia boleh dipermudahkan dengan bergantung pada kadar vaksinasi setiap negeri.
“Negeri dengan kadar vaksin yang tinggi boleh dikelompokkan sebagai satu, sementara negeri dengan kadar vaksin rendah dikelompokkan berasingan,” katanya.
Lokman menambah bahawa tumpuan kerajaan haruslah mengesan jangkitan simptomatik yang memerlukan kemasukan ke hospital.
“Walaupun seseorang yang tidak bergejala secara teorinya boleh menyebarkan jangkitan, risikonya sangat rendah dengan kadar vaksinasi yang tinggi. Oleh itu, pemeriksaan rutin pesakit tidak bergejala mungkin tidak lagi efektif dari segi kos.”
Jangkitan bergejala mesti dikesan dan diasingkan dengan cepat, kerana ia boleh menyebabkan wabak yang berpanjangan dan besar, sehingga meningkatkan kemungkinan munculnya varian baharu.
Memfokuskan perhatian kepada jangkitan bergejala adalah penting selepas negara memasuki fasa endemik, tambah Lokman, kerana wabak mungkin tersebar secara sporadik. – 12 Oktober, 2021.