Umno perlu terbuka kerana tiada parti akan dominan selepas PRU15, kata Zahid
Iklan
UMNO perlu bersedia untuk terbuka dalam pendirian politiknya kerana tiada mana-mana parti politik yang akan dominan untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden Umno menjangkakan corak pengundian dalam pilihan raya akan datang sama seperti PRU14, sehingga memerlukan parti politik untuk bekerjasama bagi membentuk kerajaan.
“Telahan saya dalam PRU15 nanti tidak ada parti politik yang dominan seperti dominannya BN untuk bentuk kerajaan.
“Saya khuatir akan berlaku bentuk pengundian sama seperti PRU14. Perkara ini cukup bahaya.
“Maka keanjalan politik harus difikir sekarang bagi membentuk kerajaan baru selepas PRU15,” katanya, malam tadi.
Beliau ditemubual dalam program Jawab, Saya Tanya di NR Channel TV yang disiar secara langsung melalui Facebook.
Mengulas mengenai keanjalan politik, Zahid berkata ia adalah kesediaan parti politik untuk membentuk jajaran politik baharu bagi membentuk kerajaan.
Beliau memberi contoh percaturan politik di Perak pada Disember 2020, apabila bekas menteri besar Ahmad Faizal Azumu terpaksa letak jawatan selepas majoriti Adun menolak kepimpinannya melalui undi percaya di Dewan Undangan Negeri Perak.
“Tapi walau ada kerjasama (dengan pembangkang) mereka tak letak syarat untuk Adun pembangkang jadi Exco. Tapi dalam perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA) Adun pembangkang diberi peruntukan sama seperti Adun kerajaan,” katanya.
Formula keanjalan politik yang dirundingkan antara parti dalam kerajaan dan pembangkang membolehkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Saarani Mohamad diangkat sebagai menteri besar, tambahnya.
Zahid ditanya mengenai idea keanjalan politik ketika sebahagian ahli dan pemimpin Umno dilihat tidak selesa dengan perjanjian persefahaman (MoU) transformasi dan kestabilan politik yang dimeterai antara pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini.
Tidak salah guna watikah
Sementara itu, mengenai PRU15, Zahid memberi jaminan tidak akan menyalahgunakan kuasanya mengeluarkan watikah calon pilihan raya BN untuk tujuan politik peribadi.
“Saya berani sahkan saya tak akan guna (kuasa) untuk gunakan watikah calon PRU15 bagi tujuan membalas dendam.
“Saya akan duduk bersama timbalan presiden (Umno) Mohamad Hasan dan saya akan duduk juga bersama perdana menteri untuk memilih calon PRU15,” katanya.
MoU kerajaan dan PH menetapkan Parlimen tidak akan dibubar sebelum 31 Julai, 2022.
Umno kini menangguhkan pemilihan parti sehingga hujung tahun depan sementara sebahagian ahli dan pemimpinnya terus mendesak agar barisan kepimpinan baharu dipilih sebelum PRU15. – 13 Oktober, 2021.