Zahid guna wang Yayasan Akalbudi tanpa fikir orang miskin, kata pendakwaan
Iklan
AHMAD Zahid Hamidi menganggap dana yayasan amal Yayasan Akalbudi seolah-olah miliknya tanpa memikirkan tentang orang miskin, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini dalam perbicaraan rasuah presiden Umno itu.
Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran memberitahu mahkamah “jelas” ada “penyelewengan besar” apabila Zahid membelanjakan sejumlah wang untuk semua perkara lain bukannya membantu orang miskin, yang merupakan peranan utama yayasan itu.
“Memberi atau meminjamkan wang kepada pengusaha, pasukan bola sepak dan membayar firma perunding politik tidak boleh dianggap sebagai kerja amal untuk hapuskan kemiskinan,” kata Raja Rozela.
Beliau merujuk kepada pinjaman RM10 juta yang didakwa diberikan oleh Zahid kepada pembekal arang batu Armada Holdings Sdn Bhd, sumbangan RM1.3 juta kepada Kelab Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FC) dan RM360,000 kepada TS Consultancy & Resources (TSCR) .
Pihak pembelaan Zahid sebelum ini berpendapat beliau perlu dibebaskan dari tuduhan pecah amanah berkaitan sumbangan kepada kelab bola sepak polis.
Peguam Zahid menegaskan sumbangan itu diperlukan kerana pemain tidak dibayar gaji selain persatuan itu ada masalah kewangan.
Raja Rozela berkata itu hanyalah sebuah kelab bola sepak, bukan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang menjalankan dapur umum atau bank makanan.
“Pemain-pemain ini pemain profesional. Pemain ada gaji, tidak cukup wang tidak semestinya jadikan seseorang itu miskin,” katanya.
“Itu tidak termasuk dalam kategori kemiskinan seperti yang dinyatakan atau dimaktubkan dalam MAA (memorandum dan artikel persatuan) berkait dengan Yayasan Akalbudi.”
Tambahnya, ia sama juga seperti Armada Holdings dan TSCR yang tidak layak mendapat dana Yayasan Akalbudi.
Tidak sesuai untuk anggap pembayaran tersebut sebagai kerja amal, katanya.
Zahid, 68, berdepan dengan 47 pertuduhan – 12 tuduhan pecah amanah, 27 kes pengubahan wang haram, dan lapan kes rasuah – membabitkan puluhan juta ringgit berkaitan dana yayasan amalnya, Yayasan Akalbudi.
Sebanyak 50 cek dikeluarkan antara 2014 dan 2016 dari akaun Yayasan Akalbudi, melibatkan sejumlah RM13,129,547.36.
Sebelum ini pihak pendakwaan berkata 43 cek digunakan untuk pembayaran kad kredit, tiga cek untuk pembelian polisi insurans kenderaan dan cukai jala kenderaan milik persendirian, dua cek untuk TSCR, satu cek untuk kelab bola sepak PDRM dan satu cek untuk Armada Holdings.
Raja Rozela berkata, dari penyata kad kredit bulanan, didapati kad tersebut digunakan secara meluas untuk pembelian di kedai mewah di seluruh dunia dan dalam negara.
“Walaupun diakui, kebiasaan berbelanja tertuduh dan isterinya, Hamidah Khamis, mungkin tidak menjadi masalah dalam kes kami, namun kami masih tertanya adakah mereka fikirkan tentang golongan miskin Bagan Datuk (kawasan Parlimen Zahid) ketika mereka membeli belah di Giorgio Armani, Louis Vuitton atau Hermes.
“Kami sangat meragukannya,” kata Raja Rozela kepada hakim Collin Lawrence Sequerah.
Perbicaraan bersambung esok. – 13 Oktober, 2021.