Penganalisis ragu Ismail Sabri mampu perkasakan Sabah, Sarawak
Iklan
RAKYAT Sarawak hanya akan mempercayai segala janji Putrajaya untuk mengembalikan hak mereka apabila pindaan Perlembagaan benar-benar dilakukan, kata penganalisis politik.
Mereka berkata rakyat Sarawak dan Sabah, dijanjikan banyak perkara oleh perdana menteri berbeza selama ini tetapi ia masih belum ditepati.
Mereka merujuk kepada janji lama tertangguh termasuk meminda Perlembagaan untuk mengembalikan status Sarawak dan Sabah sebagai rakan setara dalam Persekutuan Malaysia seperti dinyatakan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Sudah sampai pada titik di mana seseorang percaya (hanya) apabila itu berlaku,” kata ahli sains politik Universiti Putra Malaysia (UPM) kelahiran Sarawak, Jayum Jawan.
Jawan berkata perdana menteri sebelum ini, Najib Razak, Muhyiddin Yassin dan sekarang Ismail Sabri Yaakob, berjanji untuk mengembalikan status Sarawak sebagai rakan setara dalam Persekutuan dan mengembalikan hak yang terhakis sebagai pertukaran sokongan politik.
Nasib politik Najib dan Muhyiddin tidak bertahan lama apabila hilang kuasa dan membawa begitu sahaja janji mereka.
Jawan berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) juga gagal menunaikan janji ini.
Beliau berkata, PH menjelang pilihan raya umum 2018 membuat banyak janji dan ketika mereka memenangi pilihan raya untuk membentuk kerajaan Persekutuan bukan Umno pertama sejak kemerdekaan Tanah Melayu, banyak janji tidak dilaksanakan.
Jawan melahirkan keraguan andai Ismail Sabri dapat melaksanakn perubahan itu.
“Beliau memimpin dari posisi lemah, dan mempunyai majoriti tipis.
“Beliau bahkan bukan pemimpin partinya, Umno. Ismail mungkin membuat dan menawarkan janji tetapi beliau tidak akan dapat menunaikannya kerana sokongannya tidak pasti dan tegas dalam kerajaan Persekutuan dan dalam gabungan Perikatan Nasional,” katanya. – 18 Oktober, 2021.