Iklan

Saya cuma cadang Umno kerjasama dengan PN, kata Shahidan

Diyana Ibrahim3 years ago20th Oct 2021Berita
50533783392 24fde7a552 o
Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim berkata beliau hanya cadang dan bukan memutuskan Umno perlu bekerjasama dengan PN pada PRN Melaka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2021.
Iklan

SHAHIDAN Kassim berkata beliau hanya mencadangkan, dan bukan memutuskan Umno perlu bekerjasama dengan Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ketua Umno Arau itu berkata keputusan akhir mengenai kerjasama politik itu nanti terserah kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk menentukan.

“Saya rasa tak ada masalah pun saya buat cadangan kerjasama itu, saya tak fikir itu menjadi masalah kerana itu hanya cadangan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau mengulas mengenai aduan dibuat terhadapnya oleh Ketua Pemuda Arau Syed Atif Syed Abu Bakar.

Syed Atif kelmarin menghantar surat aduan pelanggaran displin Shahidan kepada Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan. Surat berkenaan tersebar di media sosial hari ini.

Ahli Parlimen Arau itu berkata beliau tidak ambil pusing mengenai aduan pelanggaran displin yang dibuat ketua Pemuda Umno Arau.

Dalam surat tersebut Syed Atif mendakwa Shahidan melanggar displin dan tata etika sebagai ahli Umno apabila mengibarkan bendera parti Bersatu bersama bendera Umno sebagai hiasan di ruang majlis.

Beliau juga mendakwa Shahidan mengedarkan draf usul yang jelas bertentangan dengan keputusan parti kepada ketua cawangan dan ketua sayap cawangan.

Ini termasuk membuat ucapan yang jelas bertentangan dengan keputusan parti kepada ketua cawangan dan ketua sayap cawanaga, katanya dalam surat yang dilihat The Malaysian Insight.

Syed Atif berkata tindakan Shahidan tersebut dilakukan ketika majlis perasmian berkelompok mesyuarat cawangan Umno bahagian Arau pada 17 Oktober di Pusat Khidmat Kubang Gajah.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata isu bendera itu sebenarnya isu teknikal kerana ia sudah lama dipasang di perkarangan dewan berkenaan sempena lawatan Muhyiddin Yassin ketika masih menjadi perdana menteri pada 5 Mac, 2021.

Shahidan berkata bendera tersebut tidak sempat ditanggal oleh pihak penganjur apabila mesyuarat cawangan itu diadakan.

Pada masa sama Shahidan berkata beliau juga pernah membuat aduan terhadap Syed Atif kepada pengurusan Umno tetapi tidak dilayan.

“Sebenarnya tak ada masalah pun, tapi saya tak kisah dia nak buat aduan ke tak sebab saya pun ada buat aduan terhadap beliau.

“Saya buat aduan untuknya diambil tindakan displin kerana mulut celupar dan kebiadapannya tapi tak diambil tindakan,” katanya. – 20 Oktober, 2021.

Iklan
Iklan