Kebenaran rentas negeri tidak cukup bantu pulih pelancongan Terengganu
Iklan
SEKTOR pelancongan Terengganu memerlukan bantuan kerajaan untuk bangkit semula selepas sekatan perjalanan rentas negeri ditarik balik sejak 11 Oktober, kata beberapa pengusaha.
Pengusaha resort dan rumah inap desa di Terengganu memberitahu The Malaysian Insight mereka masih bertatih memulihkan perniagaan yang terjejas teruk biarpun kini kembali bernyawa dengan kehadiran pelancong yang banyak.
Pengusaha rumah inap desa Tengku Aswadi Tengku Ibrahim berharap kerajaan beri suntikan dana sebagai pusingan modal awal untuk perniagaannya beroperasi dengan selesa tahun depan.
“Hasil yang kita dapat sekarang ini memang menggalakkan, cuma keuntungan yang kami dapat itu sebenarnya untuk menampung kerugian semasa PKP (perintah kawalan pergerakan).
“Cabarannya ialah pada tahun depan apabila saya hendak membuka semula operasi selepas habis musim tengkujuh,” katanya yang menjalankan perniagaan di Pulau Redang sejak 10 tahun lalu.
Tengku Aswadi juga berkata buat masa ini rumah inap desanya tidak dapat beroperasi 100% kerana kekangan sumber dan pekerja, yang diberhentikan semasa PKP.
“Kita tidak dapat beroperasi sepenuhnya kerana pengumuman kerajaan (rentas negeri) sangat mengejut, jadi persiapan itu kurang… dengan masalah kita tak cukup pekerja.
“Sebelum ini saya ada berhentikan separuh pekerja disebabkan PKP, jadi nak panggil balik memang tidak sempat, sebab itu kita tunggu tahun depan untuk beroperasi penuh,” katanya.
Exco Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman sebelum ini mendedahkan Terengganu kehilangan setengah juta pelancongan tahun lepas akibat penularan Covid-19.
Beliau bagaimanapun yakin Terengganu akan dapat menarik semula kemasukan 1.5 juta pelancong hingga akhir tahun ini, susulan kebenaran rentas negeri sejak 11 Oktober.
Pelaksanaan PKP sebelum ini menyebabkan sektor pelancongan negeri terjejas teruk, termasuk peniaga di Pasar Payang yang terkenal dalam kalangan pelancong.
Peniaga batik Siti Laksamana Ismail, 60, berkata PKP menutup perniagaannya selama enam bulan dan hanya kembali beroperasi selepas kerajaan membenarkan rentas negeri.
Biarpun Pasar Payang kini dipenuhi pengunjung semula dan jualannya meningkat, ia tidak memadai untuk memulihkan perniagaannya.
“Majoriti yang datang di Pasar Payang semua orang luar, sebab itu memang kita terjejas teruk bila ada sekatan rentas negeri.
“Biarpun sekarang ramai orang tapi untuk pulih betul perniagaan saya rasa makan masa dalam setengah tahun juga.
“Itu pun kalau keadaan konsisten macam ini, maksudnya tidak ada lagi pelaksanaan PKP atau sekatan negeri,” katanya.
Siti Laksamana yang merupakan generasi kedua berniaga di Pasar Payang berkata dalam tempoh tiga pertama beroperasi semula beliau dapat meraih jualan sehingga RM2,000.
“Tapi sebenarnya jumlah itu adalah sama kita dapat sebelum Covid-19. Sebab itu saya kata biarpun nampak pelancong ramai tapi tak bermaksud perniagaan kita akan segera pulih,” katanya.
Sementara itu, pengusaha Redang Bay Resort Lim You Jing memilih untuk terus menutup operasinya kepada umum biarpun rentas negeri sudah dibenarkan.
“Saya hanya membuka resort saya jika ada permintaan untuk kumpulan persendirian tidak lebih 10 orang satu kumpulan.
“Ini memang pendirian saya kerana kita tak nak ada isu bila terlalu ramai dan pihak polis datang buat operasi dan kita didenda. Saya memang tidak mahu tanggung risiko itu,” katanya.
Resort itu hanya akan beroperasi sepenuhnya tahun depan, selepas musim tengkujuh, tambahnya.
Lim yang juga setiausaha Persatuan Pengusaha Pulau Redang berharap kerajaan meneruskan pemberian insentif atau bantuan kepada penggiat pelancongan untuk sektor itu kembali bernyawa.
Bantuan itu amat diperlukan untuk perniagaan mereka dapat pulih dengan lebih cepat, katanya.
“Masalahnya sekarang kita tidak boleh jangka bagaimana tahun depan, apakah keadaannya.
“Sebelum ini kita terlalu lama tidak beroperasi, jadi bantuan itu diperlukan sebab untuk memulakan operasi kita memerlukan kos yang besar,” katanya. – 21 Oktober, 2021.