Tiada lagi parti dominan, kata Kit Siang
Iklan
POLITIK Malaysia kini dalam era baharu, tiada lagi parti yang dominan sejak Pilihan Raya Umum ke-14, kata veteran DAP Lim Kit Siang.
Tiada parti politik dijangka mampu memperoleh majoriti mudah dalam pilihan raya, sebaliknya perlu bekerjasama dengan parti lain untuk mencapai kemenangan dan seterusnya membentuk kerajaan yang stabil, tambahnya ketika diwawancara The Malaysian Insight.
Lim berkata ini akan dapat dilihat semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November kelak, yang sekaligus akan membawa impak besar terhadap politik di peringkat negeri dan persekutuan.
PRN Melaka juga katanya berlangsung ketika memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) telah membuka lembaran baharu dalam landskap baharu politik negara.
“Tiada lagi parti yang dominan.
“MoU dengan kerajaan tidak pernah dibayangkan sebelum ini, kini ia bukan lagi perkara mustahil, kerana hegemoni parti politik tunggal sudah berakhir.
“Sekarang parti-parti perlu belajar untuk saling bekerjasama,” katanya.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata demikian dalam temu bual sempena pelancaran buku biografinya yang ditulis bekas wartawan dan pelakon Kee Thuan Chye.
Buku “Lim Kit Siang – Malaysian First. Volume 1: None but the bold” akan mula dijual mulai 25 Oktober ini, manakala pelancaran rasmi pada 9 November.
Ia berkisar tentang kisah hidup Lim, 80, secara dekat dan penglibatan awal beliau sebagai aktivis pelajar serta ahli politik paling lama berkhidmat di negara ini.
Menurut Lim, politik Malaysia kini memasuki lembaran baharu, sesuatu yang tidak pernah dibayangkan sesiapa pun sebelum ini.
“Misalnya, perlembagaan menyebut parti yang memerintah mestilah mempunyai majoriti di Parlimen. Tetapi bagaimana apabila tiada parti yang memiliki majoriti?
“Ini tidak pernah difikirkan sebelum ini, namun antara salah satu perubahan yang sedang berlaku,” ujarnya.
Kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum 2018 telah menamatkan pemerintahan Barisan Nasional (BN) selama lebih 60 tahun. PH mengukuhkan kedudukannya di Parlimen bersama Parti Warisan Sabah (Warisan), menguasai 121 daripada 222 ahli Dewan Rakyat.
Kerajaan PH kemudian menerima kemasukan 15 ahli Parlimen yang melompat dari parti lain, namun tumbang pada Februari tahun lalu selepas Bersatu menarik diri dari gabungan itu.
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin kemudian bergabung dengan parti-parti yang kalah dalam PRU14, termasuk Umno dan PAS, untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).
PN di bawah pimpinan Muhyiddin hanya mempunyai majoriti tipis iaitu 114 ahli Dewan Rakyat. Muhyiddin letak jawatan perdana menteri pada 14 Ogos lalu selepas hilang majoriti ekoran 15 ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan kepadanya.
Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob kemudian diangkat sebagai pengganti Muhyiddin. Ismail yang mengangkat sumpah jawatan perdana menteri kesembilan pada 21 Ogos lalu bagaimanapun juga mempunyai majoriti tipis 114 sokongan ahli Parlimen.
Pada 13 September lalu PH memeterai MoU dengan pentadbiran Ismail untuk mengembalikan kestabilan politik negara dan memulihkan ekonomi negara di tengah pandemik.
Mou itu turut menyenaraikan persefahaman mengenai perubahan institusi melibatkan transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen dan kebebasan institusi kehakiman.
Di Melaka, BN hanya mempunyai 13 Adun, manakala 11 di sebelah PH sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) bubar pada 4 Oktober susulan empat wakil rakyat menarik sokongan terhadap ketua menteri ketika itu Sulaiman Md Ali.
Tidak mudah putus asa
Meski PH tidak bertahan lama sebagai kerajaan dan kenyataan itu amat pahit untuk ditelan, Lim tetap optimis.
“Mudah sahaja untuk menyerah kalah (atas apa yang berlaku), tetapi harapan itu masih ada. Sebelum 2018 tiada siapa pernah menyangka dominasi Umno dapat dipecahkan, namun terbukti ia berjaya dilakukan.
“Dan meski masih ada politik kebencian dan pembohongan, kita jangan pernah putus harapan merealisasikan impian rakyat Malaysia. Jatuh bangun itu pasti ada kerana tiada jalan mudah bagi kejayaan,” katanya. – 21 Oktober, 2021.