Golongan muda jadi mangsa penipuan wang dalam talian
Iklan
PADA perayaan kuih bulan baru-baru ini, Alice (bukan nama sebenar), yang berusia 20 tahun bertindak membunuh diri selepas kerugian RM16,000 kepada sindiket penipuan pinjaman dalam talian.
Ahli keluarganya yang memberitahu The Malaysian Insight mengenai kematiannya berkata mereka tidak tahu mengenai masalah yang dihadapinya dan hanya tahu menerusi telefon bimbitnya yang menunjukkan pendekatan yang digunakan penipu terbabit untuk membuat gadis itu mengeluarkan sejumlah wang.
Malah kebanyakan mangsa yang terpedaya dengan penipuan wang dalam talian terdiri daripada golongan muda, kata mereka yang terlibat dalam biro aduan untuk parti politik.
Laporan berita mengenai penipuan sering melibatkan golongan yang lebih tua, namun apabila melibatkan penipuan pinjaman dalam talian atau penipuan pelaburan, profil usia mangsa adalah lebih muda, kata ketua biro yang dijalankan oleh Gerakan dan DAP.
Ketua Biro Perkhidmatan dan Aduan Awam Gerakan Henry Teoh berkata berdasarkan pengalamannya membantu orang ramai, mangsa penipuan pinjaman dalam talian melibatkan golongan berusia 20 hingga 40 tahun. Mereka yang berusia 30an dan 20an lebih cenderung untuk menjadi mangsa penipuan pelaburan.
Pada tahun 2020 sahaja, pihak biro menerima lebih 20 permintaan untuk bantuan, kesemuanya melibatkan penipuan wang dalam talian.
Jumlah kerugian bagi setiap kes adalah antara RM20,000 hingga RM30,000, kata Teoh kepada The Malaysian Insight dan menambah ada mangsa yang kerugian dua kali ganda daripada jumlah pinjaman mereka atau dimasukkan sebagai “pelaburan” awal.
Tahun ini, ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) ketiga dari Jun hingga Ogos, biro menerima 15 lagi rayuan untuk bantuan melibatkan pelabvuran dalam talian, yang disifatkan Teoh sebagai cara baharu untuk menipu wang orang ramai.
Salah satu kes yang dibantu biro melibatkan lelaki berusia 20 tahun yang kerugian RM21,000 akibat ditipu menerusi penipuan pelaburan.
Ibu bapanya juga tertipu ketika melihat berapa banyak wang yang “diperoleh” anak mereka, namun sebenarnya wang itu tidak wujud, sehingga mereka menyedari ianya sudah terlambat.
Teoh berkata penipu mempromosikan skim mereka di surat khabar dan iklan dalam talian, dan orang yang ingin tahu dan mencarinya kemudian dimasukkan ke kumpulan sembang yang mana penipu itu menjanjikan pulangan seperti “labur RM1,000 dapat faedah RM200”.
Mangsa kemudian menyedari mereka sudah tertipu apabila ingin menghentikan pelaburan dan minta untuk mengeluarkan wang.
Teoh berkata mangsa tidak akan dapat semula wang mereka, dan langkah terbaik yang mereka boleh lakukan adalah membuat laporan polis.
Ketua Biro Aduan DAP Wilayah Persekutuan Yew Jia Haur juga bersetuju bahawa lebih ramai mangsa penipuan melibatkan golongan muda, terutamanya mereka yang meminjam daripada peminjam wang dalam talian.
Kini ia melibatkan mangsa berusia antara 17 hingga 40 tahun, katanya.
Kebanyakan mereka tidak layak untuk membuat pinjaman bank kerana faktor umur atau rekod kewangan yang buruk.
“Mereka kemudiannya beralih kepada peminjam wang dalam talian yang memberi jaminan lulus walaupun disenarai hitam namu kadar faedahnya jauh lebih tinggi.
“Mangsa sering diminta membayar wang jaminan antara RM1,000 hingga RM2,000. Sebaik sahaja membayarnya, mangsa akan terperangkap dalam penipuan tersebut. Ada sesetengah orang yang ingin meminjam RM10,000, kehilangan lebih banyak wang dalam proses itu.
“Sekiranya anda berhenti membayar penipu separuh, anda tidak akan dapat mengembalikan wang anda,” kata Yew.
Pada PKP pertama tahun lalu, bironya menerma sekurang-kurangnya 10-20 aduan setiap hari berkaitan penipuan dalam talian. Jumlah aduan lebih kurang sama hingga pertengahan tahun ini, tambah Yew.
Nasihatnya kepada mereka yang memerlukan wang adalah meminjam dari rakan atau keluarga, dan bukannya beralih kepada ceti haram atau pemberi pinjaman wang dalam talian.
Ketika laporan polis dibuat, Yew berkata mereka yang ditangkap adalah “keldai wang” tetapi dalangnya selalu melarikan diri.
Keldai ini, katanya, adalah individu yang meminjamkan akaun bank mereka, tetapi mereka bukan dalang di sebalik operasi tersebut. – 22 Oktober, 2021.
Berita penuh di sini.