Iklan

Kerajaan luluskan dos penggalak untuk penerima Sinovac, kata Khairy

Chan Kok Leong3 years ago21st Oct 2021Berita
Khairy jamaluddin tmikamal 03
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata penerima vaksin Sinovac kini boleh mendapatkan dos penggalak Pfizer. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2021.
Iklan

KERAJAAN bersetuju melanjutkan pemberian dos penggalak Covid-19 kepada individu yang sudah menyelesaikan vaksinasi Sinovac selepas tiga bulan, kata Khairy Jamaluddin.

“Mereka akan diberi dos penggalak menerusi pendekatan heterologi ‘campur dan padan’ dengan vaksin Comirnaty,” kata menteri kesihatan dalam sidang media hari ini. 

Beliau berkata dos penggalak akan diberikan kepada mereka yang berusia 60 tahun ke atas terlebih dahulu.

Khairy berkata dos penggalak akan diberikan secara penggunaan off-label dan dijadikan sebagai cabang kajian The Real World Evaluation of Covid-19 Vaccination (RECoVaM) dan kajian kesan advers serius selepas vaksinasi (SAFECOVAC), iaitu bagi semua penerima dos penggalak. 

“Pemberian dos penggalak ini dilakukan secara sukarela dan percuma di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick),” kata Khairy.

Beliau berkata objektif dos penggalak adalah untuk mengoptimumkan tempoh perlindungan bagi penerima vaksin.

“Penerima Sinovac (hanya mereka yang sudah menyelesaikan tempoh tiga bulan selepas suntikan) dapat memperoleh dos tambahan mulai esok di seluruh negara.

“Ini akan dilakukan oleh pengamal perubatan swasta di bawah ProtectHealth Corporation Sdn Bhd.

“Individu yang memenuhi syarat akan diberitahu melalui aplikasi MySejahtera atau melalui pesanan SMS,” katanya.

Menteri itu menambah, pada 19 Oktober, 47,728 individu sudah menerima suntikan penggalak Covid-19.

Beliau berkata, program suntikan penggalak yang dimulakan pada 13 Oktober sudah diberikan kepada petugas barisan hadapan, mereka berusia di atas 60 tahun dan individu yang mempunyai komorbiditi. – 21 Oktober, 2021.

Iklan
Iklan