Pulau Pinang dibanjiri pelancong, exco minta semua patuh SOP
Iklan
PULAU Pinang yang menerima hampir 30,000 pengunjung dalam minggu pertama perjalanan rentas negeri dibenarkan, perlu memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berterusan bagi memastikan kemampanan, kata Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Yeoh Soon Hin.
Antara 11 Oktober ketika sekatan perjalanan rentas negeri ditarik balik, dan 19 Oktober, Pulau Pinang merekodkan 27,059 pengunjung di 14 lokasi tarikan pelancongan, menurut angka diberikan Persatuan Tarikan Pelancongan Pulau Pinang (ATAP).
Kadar tetamu hotel di seluruh juga meningkat, kata Yeoh memetik Persatuan Hotel Malaysia.
Kadar penginapan untuk tempoh itu ialah 65% bagi hotel di Prai, 75% hotel di tepi pantai, 50% di Bayan Lepas dan 45% dalam George Town.
Di kawasan Warisan Dunia Unesco di George Town, kadar penginapan hotel di situ ialah 70%.
“Pelancong kebanyakannya dari luar Pulau Pinang,” kata Yeoh kepada The Malaysian Insight.
“Oleh itu, amat penting pemantauan dan penguatkuasaan SOP Covid-19 dilakukan supaya aktiviti pelancongan dapat terus dilakukan.”
Kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur dengan kedegilan untuk tidak patuh SOP walaupun negara pada masa ini sedang beralih ke fasa endemik Covid-19.
Semua premis perniagaan tahu SOP yang diperlukan seperti memeriksas sijil vaksinasi digital pelawat, memastikan daftar masuk MySejahtera, kerap sanitasi tempat awam, memakai dua lapis topeng pelitup muka dan menyediakan cecair sanitasi yang mencukupi, katanya.
“Kerajaan negeri juga mewajibkan pekerja melakukan ujian kendiri dua kali seminggu dan menggalakkan perniagaan menggunakan mekanisme tempahan atas talian bagi mengawal kehadiran orang ramai.
“Bagi pelancong pula, kami galakkan mereka lakukan ujian saringan sendiri sebelum berkunjung ke Pulau Pinang dan memakai dua lapis topeng pelitup muka ketika berada di tempat awam,” kata Yeoh.
Hotel bajet, kecil masih bergelut
Statistik di atas bagaimanapun, tidak memberangsangkan bagi hotel kecil dan bersaiz sederhana.
Pengerusi Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) Pulau Pinang Lim Mee Lee berkata kebanyakan pelancong memilih ke resort dan hotel lebih besar di pantai, menambah antara 40% hingga 50% hotel di pantai lebih popular dan hampir penuh dengan tetamu.
“Lama kami menunggu untuk pelancongan rentas negeri dibuka semula. Tetapi walaupun Pulau Pinang antara tempat tarikan pelancong yang popular, kami tidak boleh bergantung kepada pelancong tempatan saja.
“Mereka datang untuk sehari atau dua hari pada hujung minggu. Kami perlukan pelancong dari luar negara,” kata Lim.
Beliau menggesa Putrajaya untuk mengenal pasti negara yang boleh memberi perjalanan laluan hijau dengan Malaysia, di mana Covid-19 dapat dikawal.
Pulau Pinang terkenal dalam kalangan pelancong dari Jepun, China, Taiwan dan Singapura. Ramai pelancong Indonesia melawat negeri itu bagi pelancongan perubatan, kata Lim.
Selain hotel kecil dan bajet, antara yang masih bergelut dengan keadaan semasa ialah hotel perniagaan.
Lim berkata terdapat 100 hotel perniagaan di Pulau Pinang.
“Ada tempahan tetapi secara keseluruhan hotel perniagaan tidak begitu aktif. Pada minggu pertama rentas negeri dibenarkan, pantai penuh dengan pengunjung yang sekadar datang bersiar-siar dan berehat.”
Pulau Pinang yang menjadi syurga makanan juga masih cuba untuk pulih perlahan-lahan bagi sektor premis makanan.
Perniagaan mula meningkat tetapi masih ramai pelanggan membuat tempahan bawa pulang, dan pelanggan yang makan di premis juga tidak begitu rmai kerana kanak-kanak bawah 12 tahun masih tidak mendapat vaksin Covid-19. – 23 Oktober, 2021.