Golongan B40 masih sukar jana pendapatan walau ekonomi dibuka semula
Iklan
SEKTOR ekonomi kini dibuka semula dan orang ramai mula kembali ke kedai dan premis makanan, namun menjana pendapatan masih lagi sukar untuk pekerja dari golongan B40.
Walaupun Selangor dan Lembah Klang sudah beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak 18 Oktober, namun kesan daripada pandemik masih mencabar kerana ramai yang menganggur, kata mereka kepada The Malaysian Insight.
Ramai yang sukar untuk menyambgung semula perniagaan kecil mereka kerana kekuranganb modal dan berharap kerajaan dapat menyediakan bantuan kepada mereka untuk mulakan kembali atau kembangkan perniagaan mereka.
Seorang ibu tunggal, Dumasari Syarif, 43, berkata modal yang lebih banyak akan membantu beliau dalam perniagaan membuat kek yang dijalankan dri rumah bagi menyara empat anaknya.
Beliau membuat kira-kira 100 pek kuih sehari dan menghantarnya ke pelbagai kedai menggunakan motosikal. Beliau sebelum ini pernah memiliki kedai namun bayaran sewanya terlalu tinggi.
Tinggal di flat Danau Kota, Kuala Lumpur, beliau memulakan kerjanya dari pukul 3 pagi hingga 12 tengah malam, enam hari seminggu.
“Walaupun saya ada perniagaan, saya masih perlukan bantuan kewangan. Saya perlu bayar sewa rumah dan menanggung keperluan anak-anak.
“Nak berehat pun susah walaupun pada hari cuti, saya perlu buat kerja rumah dan selesaikan keperluan lain,” katanya.
Azlina Bakhtiar, 52, yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Subang berkata ketika segelintir jirannya menyambung pekerjaan atau kembali bekerja, masih ramai yang lain tidak dapat mencari kerja.
“Mereka yang hilang pekerjaan atau perniagaan memerlukan modal untuk mulakan semula.
“Malah, kini kuasa membeli makin kurang dan harga sewa kedai meningkat. Terdapat juga saingan dengan gerai lain yang tertumpu di kawasan ini.
“Walaupun sektor ekonomi dibuka semula, tidak bermakna ada perluang pekerjaan,” kata Azlina yang terpaksa menutup perniagaan bersama suaminya menjual nasi ayam kukus selepas barangan di kedainya dicuri.
Beliau kini menyara keluarga dengan melakukan pelbagai pekerjaan seperti mengasuh anak dan gubahan bunga.
Beliau juga menyertai pelbagai peraduan untuk mencuba nasib memenangi hadiah wang tunai.
Ibu tunggal Norizam Mohd Nor, 47 yang tinggal di Desa Mentari 3 di Selangor bersama tiga anaknya turut meluahkan perkara yang sama dan menyatakan ramai penduduk di flatnya yang kehilangan kerja sebagai kru penerbangan membuka gerai menjual sushi.
Katanya, ramai yang bekerja di kilang, hotel dan perniagaan perancang perkahwinan turut hilang pekerjaan.
“Kini mereka mulakan perniagaan makanan dan ianya sukar kerana mengambil masa untuk buat jualan dan dipercayai pengguna.
“Bantulah golongan miskin demi ekonomi. Dengan berikan kami dana untuk bantu perniagaan akan membantu menaikkan ekonomi,” katanya yang merayu kepada kerajaan untuk membantu perniagaan kecil.
Rosita Md Nor, 39, menggesa pihak berkuasa yang terlibat dalam proses meluluskan permit perniagaan supaya peka dengan nasib pemohon B40.
“Beri bantuan dan sokongan kepada mereka yang cuba mendapatkan lesen perniagaan,” kata ahli jawatankuasa pengurusan flat Damansara Bistari di Petaling Jaya, Selangor itu.
Rosita berkata ramai jirannya tidak dapat membayar yuran perkhidmatan bulanan pangsapuri sebanyak RM77 untuk beberapa lama dan telah mengumpul jumlah tertunggak.
“Tolong jangan lakukan sekatan pergerakan lagi, banyak pekerjaan dan pendapatan mereka terjejas, terutama mereka yang bekerja atau bekerja sendiri.” – 25 Oktober, 2021.
Berita penuh di sini