RUU MA63 tetap dibentang pada 26 Oktober, kata Wan Junaidi
Iklan
CADANGAN rang undang-undang (RUU) untuk meminda Perlembagaan Persekutuan supaya selaras dengan peruntukan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan dibentangkan pada 26 Oktober seperti dirancang, kata Menteri Undang-Undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
“Itu memang pasti. Saya akan bentangkan pada 26 Oktober untuk bacaan pertama kecuali semasa mesyuarat pra majlis (kerajaan di Putrajaya) malam esok, perdana menteri ubah fikiran,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Wan Junaidi merujuk kepada perbincangannya dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semasa taklimat pembangunan negeri di Hotel Hilton Kuching pagi tadi dan berkata beliau sudah diberikan kebenaran untuk meneruskan pembentangan itu.
“Saya mahu percepatkan proses ini. Saya masih mahu bentangkannya dan perdana menteri sudah setuju.
“Pembentangan akan diteruskan untuk bacaan pertama tetapi jika ada sebarang perubahan (untuk dibuat), ia akan dibuat pada bacaan kedua.”
Katanya, sebarang cadangan baharu kepada RUU itu yang sudah dibentangkan kepada pemimpin Sabah dan Sarawak, parti politik, ahli Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 dan pelbagai pemegang taruh, tidak boleh dibuat “begitu sahaja”.
“Kita perlu buat satu lagi pusingan rundingan dengan pemimpin Sabah dan Sarawak.
“Kita masih ada masa (untuk perundingan). Saya akan pergi semula ke Sabah, kemudian Sarawak. Ia tidak boleh diubah…mengikut apa yang menteri mahukan.”
Ismail Sabri berada di Kuching untuk lawatan rasmi pertamanya sejak dilantik sebagai perdana menteri. – 23 Oktober, 2021.