Apa yang menjadikan Lim Kit Siang seorang Lim Kit Siang
Iklan
SETIDAK-TIDAKNYA ada tiga buku mengenai veteran DAP Lim Kit Siang di pasaran tetapi yang terbaharu oleh pengarang, pelakon dan wartawan Kee Thuan Chye barangkali yang paling mudah dibaca dan boleh difahami.
Menulis kisah hidup tokoh politik yang dikagumi dan dibenci di negara ini bukan satu kerja mudah tetapi Kee berjaya merakamkan riwayat yang mendalam melalui “Lim Kit Siang: Malaysian First (Volume: None but the Bold).”
Ia bukan hanya catatan perjalanan kerjaya Lim sebagai ahli politik. Kee menterjemahkan apa yang menjadikan Lim “seorang Lim Kit Siang” – tokoh yang menjadi duri kepada kerajaan selama lebih 50 tahun dan hingga kini masih berjuang.
Kee memberitahu The Malaysian Insight, beliau menulis cerita dan tidak mengambil pendekatan akademik atau sejarah seperti yang digunakan oleh penulis lain.
Kee menyusun biografi ini secara kronologi. Beliau membawa pembaca ke kampung halaman Lim di Batu Pahat dan menutup ceritanya setakat ini tergantung pada 1987 – tahun hitam dalam sejarah Malaysia kerana sekatan ke atas pembangkang dan media.
Cerita Lim hidup kerana Kee memberi perhatian kepada penyelidikan yang terperinci dan teliti. Beliau mewawancara tidak kurang 60 orang, sesetengahnya kawan sekolah Lim. Ini bukan satu kerja yang mudah kerana Lim sendiri tahun ini usianya 80 tahun.
Ketelitian itu membolehkan Kee menyemak fakta dan keterangan dan tidak hanya bergantung kepada satu sumber. Beliau menyusun bingkai cerita Lim daripada pandangan keluarga, kawan dan lawan.
Ketika penulis lain hanya memberi fokus kepada politik Lim, Kee menyingkap seorang tokoh yang mempunyai banyak pandangan mengenai politik dan negara tetapi hampir tidak membuka apa-apa tentang dirinya sendiri.
Itulah yang tergambar daripada perbualan Kee dan Lim mengenai pelantikannya sebagai setiausaha politik kepada setiausaha agung DAP yang pertama CV Devan Nair pada 1966. Lim ketika itu seorang wartawan muda yang tidak begitu dikenali.
“Saya tidak tahu,” kata Lim.
“Tentu saudara bertanya kepadanya,” tanya Kee.
“Dia kenal saya. Sebagai wartawan, saya beberapa kali keluar minum dengannya. Pandangan saya berbeza dengan pandangan umum dan beliau hormat semangat yang bebas itu. Dia juga kenal saya dalam kelompok kesatuan sekerja, jadi mungkin dia rasa saya layak.”
“Saudara tidak pernah bertanya kepadanya?” tanya Kee lagi.
“Saya tidak tanya dan sekarang saya tidak boleh tanya kerana dia sudah meninggal dunia. Apabila saya meninggal dunia, saya akan tanya dia,” kata Lim.
Perbualan di atas menunjukkan apa yang dilalui oleh orang lain ketika mewawancara Lim mengenai dirinya sendiri.
Satu lagi topik yang ditangani oleh Kee dengan baik adalah dakwaan kononnya Lim mengendalikan DAP seperti seorang diktator.
Dalam bab “Great Dictator” yang menceritakan pemecatan setiausaha agung kedua DAP Goh Hock Guan, Kee meminta penjelasan Lim.
Lim berkata ada masanya beliau terpaksa bertegas.
“Tetapi kalau saya diktator, saya tidak fikir DAP akan bertahan sampai hari ini.
“Dengan keazaman yang kuat dan tegas, adakah itu diktator? Diktator bermakna saya buat keputusan tanpa peduli pandangan orang lain, tidak peduli pendapat orang lain. Bolehkah sebuah parti diurus seperti itu? Bolehkah ia bertahan lebih 50 tahun?”
“(Kalau boleh) Saya hendak jadi diktator,” kata Lim.
Di celah-celah perjalanan politik Lim dan DAP, yang disulam dengan kemas, Kee menyelitkan kisah Lim sebagai seorang ayah.
Dalam bab “Dear Father”, kita melihat Lim yang meluangkan masa membantu empat anaknya dengan kerja sekolah atau hobi mereka.
Anak lelakinya Guan Choon mengimbau bagaimana Lim membantunya dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris selepas dia diejek di sekolah kerana lemah. Anak perempuannya Hui Ying juga menceritakan bagaimana Lim mengajarnya menyalin lirik lagu semasa mendengar muzik daripada kaset ketika berumur 12 tahun.
Guan Eng, yang kemudian mengikut jejaknya menjadi ahli politik, juga bercerita bagaimana dia diajar menulis surat kepada sahabat pena di luar negara, bermain catur dan menulis trengkas.
Ini cebisan kisah seorang tokoh politik yang tidak diketahui umum.
Yang jelas daripada rakaman Kee adalah semangat Lim untuk sebuah Malaysia yang bersatu.
Semasa masih belajar, Lim sudah menulis rencana mengenai pentingnya semua kaum berusaha bersama membina Malaya yang baharu merdeka. Beliau berhujah tentang identiti Malaysia yang mesti didahulukan mengatasi kaum – idea yang mengalir dalam pemikiran politiknya.
Ketika negara ini terbelah, biografi yang mendedahkan “apa yang menjadikan Lim Kit Siang seorang Lim Kit Siang” barangkali sesuatu yang tepat pada masa.
“Saya harap orang dapat sesuatu daripada biografi ini,” kata Kee. – 24 Oktober, 2021.
Nota: Lim Kit Siang: Malaysian First (Volume 1: None but the bold) akan mula dijual di seluruh negara mulai 25 Oktober.