Iklan

Mula dengan bantu murid, kini guru Pulau Pinang tolong komuniti Tanjung Tokong

Hailey Chung Wee Kye3 years ago25th Oct 2021Berita
The canteen operator paid to supply food for kijata us - business name  zaleeza nasi melayu
Kijata Us turut membantu pengusaha kantin yang tidak dapat meneruskan perniagaan sepanjang sekolah ditutup kerana PKP. – Gambar Kijata Us, 25 Oktober, 2021.
Iklan

CHAN Min Choo bermula dengan niat membantu muridnya mendapat akses kepada internet sekali gus memulakan pembelajaran dalam talian ketika perintah kawalan pergerakan.

Namun dalam tempoh cuma beberapa bulan, bantuannya itu melangkaui SK Wellesley sehingga menolong masyarakat Tanjung Tokong.

Sedar dengan apa yang dibuatnya, Chan kini menubuhkan Kijata Us, singkatan dari Kita Jaga Kita, untuk membantu keluarga B40 dan M40 di kawasan itu.

Guru Bahasa Inggeris dan Sains berusia 58 tahun itu bermula dengan menyediakan kad sim pelan bulanan data tanpa had kepada beberapa murid miskin pada Julai.

Pada masa ini, beliau membantu 19 pelajar di SK Wellesley dan tiga pelajar dari sekolah lain di Pulau Pinang untuk mendapatkan akses internet.

“Saya tidak bagi mereka wang tunai, tapi saya beli tambah nilai dan bagi mereka nombor kunci untuk sambung pelan data mereka,” kata Chan.

Hasilnya, guru disiplin itu nampak kehadiran murid untuk kelas dalam taliannya meningkat sebanyak 75% sejak beliau membantu mereka mendapatkan data internet.

“Sebaik saja mereka muncul untuk pembelajaran dalam talian, mereka akan buat kerja rumah,” kata Chan kepada The Malaysian Insight dalam temu bual baru-baru ini.

Katanya, beliau turut menasihati murid B40 yang berusaha untuk sekurang-kurangnya mengikuti empat mata pelajaran utama, iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Sains dan Matematik, jika mereka tidak dapat mengikuti semua kelas.

Menerusi keakrabannya dengan pelajar dan ibu bapa mereka, Chan berkata beliau dimaklumkan tentang nasib keluarga itu.

“Seorang ibu datang kepada saya minta wang untuk susu tepung dan lampin. Dia ada empat anak lelaki dan kini sedang mengandung,” katanya.

Guru, Chan Min Choo bersama suaminya membantu muridnya mendapat akses kepada internet untuk pembelajaran dalam talian ketika perintah kawalan pergerakan. – Gambar Kijata Us, 25 Oktober, 2021.

Selain pelajar, Chan turut membantu pengawal keselamatan dan pembersih sekolah.

Akhirnya, Chan dapati beliau melayani pelbagai keperluan komuniti B40 termasuk menghantar 280 paket makanan setiap hari melalui Kijata Us.

Beliau berharap dapat teruskan kerja amal melalui kenderaan ini apabila bersara dalam 18 bulan lagi.

“Sudah 37 tahun saya menjadi guru sekolah dan akan bersara tidak lama lagi. Saya mahu tumpu buat kerja begini selepas bersara.”

Salah seorang pembekal makanan Kijata merupakan pengusaha kantin sekolahnya, yang memberitahu Chan perniagannya tidak beroperasi sepanjang sekolah ditutup.

“Saya bantu dia buat katering, dengan ini, perniagaannya tetap bertahan dan dia juga dapat tolong pasar kejiranannya dan peruncit kecil yang bekalkan bahan kepadanya.

“Katerer saya membesar di Tanjung Tokong. Ramai dalam kalangan masyarakat turut meminta bantuan daripadanya,” katanya.

Chan berkata orang ramai bergelut untuk meminta bantuan. Walaupun komuniti B40 lebih terbuka untuk minta pertolongan, golongan M40 sedikit lebih terkawal.

“Kebanyakan yang meminta beras daripada saya merupakan golongan M40 yang hilang kerja atau gaji mereka dipotong.

“Orang ramai menilai mereka sebab minta makanan sedangkan ada kereta, tetapi mereka cuma berdepan beban kewangan waktu pandemik ini,” katanya.

Kijata Us juga memperuntukkan paket makanan kepada warga asing yang tinggal bersembunyi.

“Penduduk tempatan beritahu saya yang mereka kenal beberapa warga asing yang bersembunyi di kampung. Saya beri mereka 10 paket setiap hari,” katanya.

Chan berkata mereka sedar banyak keluarga B40 yang dijangkiti Covid-19 dan di bawah kuarantin tidak ada akses oksimeter untuk periksa tahap oksigen mereka sehingga mereka terpaksa beli dan pinjamkan kepada mereka yang terjejas.

“Selepas selesai kuarantin mereka akan bersihkan dan pulangkan peralatan untuk dipinjam oleh keluarga lain,” katanya.

Beliau berkata golongan miskin tidak mampu membeli kit ujian kendiri Covid-19 dan mereka turut sediakan.

“Walaupun berharga RM9.90 setiap kit ujian, dan katakan ada dua ibu bapa dan lima anak, kos untuk satu keluarga sudah RM70.

“Anda juga boleh turunkan harga kit ujian kepada RM5.90 dan jumlah RM24 masih mungkin separuh daripada pendapatan mereka sehari,” katanya.

Kijata Us turut disokong penderma, organisasi dan perniagaan yang berbeza seperti PPB Group Berhad, Penang Christian Centre, Rotary Club of Georgetown dan Little Nyonya.

Katanya syarat untuk bantuan makanan semakin berkurang ketika negara memasuki Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara.

“Seterusnya, lebih banyak bantuan diperlukan untuk peluang pekerjaan,” katanya.

“Seorang wakil PPR (projek perumahan rakyat) memberitahu saya ramai anak muda yang minta kerja, kebanyakannya adalah lepasan sekolah.

“Saya juga diberitahu penduduk yang merupakan pekerja kolar biru, tukang kraf juga hilang kerja sepanjang pandemik ini,” kata Chan.

Chan kini sedang menulis surat kepada syarikat yang bersedia untuk melatih komuniti B40 untuk beri pekerjaan. – 25 Oktober, 2021.

Iklan
Iklan