Iklan

Pengeluar cip tempatan perlukan setahun penuhi tempahan global

Khoo Gek San3 years ago25th Oct 2021Berita
000 9672g9
Malaysia pengeluar cip keempat terbesar selepas AS, China dan Taiwan serta menyumbang sekurang-kurangnya 50% pengeluaran cip dunia. – Gambar fail EPA, 25 Oktober 2021.
Iklan

KILANG semikonduktor di Malaysia memerlukan kira-kira tiga bulan hingga setahun untuk menyelesaikan pesanan tertunggak susulan penutupan sektor itu semasa pandemik Covid-19, kata presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia Wong Siew Hai.

Beliau berkata walaupun ketika ini semua kilang beroperasi pada kapasiti 100%, namun industri itu masih bergelut untuk menyelesaikan masalah disebabkan penutupan sementara termasuk memenuhi pesanan baharu.

Ditambah dengan masalah kekurangan pekerja, Wong berkata ini memaksa beberapa pemain industri mengambil tempoh masa panjang sebelum dapat menyiapkan pesanan yang harus mereka penuhi.

Bagaimanapun, sektor ini tidak terjejas dengan krisis kelewatan perkapalan global kerana produk dihantar menggunakan pengangkutan udara.

“Pada fasa pertama pelan pemulihan nasional, kami hanya dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 60%. Kemudian dalam fasa dua dengan kapsiti 80%, dan selepas Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) dilancarkan, ia meningkat kepada 100%,” kata Wong kepada The Malaysian Insight.

“Sekarang kami beroperasi pada kapasiti 100%, kami masih tidak dapat memenuhi permintaan kerana tunggakan pesanan sejak 2019.

“Bukan saja kita perlu menangani tunggakan ini, kita juga perlu bersaing dengan tempahan baharu tetapi sukar untuk melakukannya apabila kita tidak dapat meningkatkan kapasiti.”

Maklum balas daripada 14 loji semikonduktor di Malaysia menunjukkan sektor itu memerlukan RM4 bilion untuk membeli tanah untuk pembesaran, peralatan baharu dan menaik taraf kemudahan sedia ada mereka.

“Ia hanya dijangka siap tahun depan,” kata Wong, sambil menambah ini akan memudahkan pengeluaran dan memendekkan kelewatan.

“Kelewatan berbeza antara kilang, ada yang mempunyai tunggakan beberapa bulan, beberapa tahun. Kami akan menilai semula pesanan tertunggak setiap enam bulan.”

Cip semikonduktor antara lain digunakan dalam pembuatan kereta, telefon pintar dan peranti rumah. – Gambar EPA, 25 Oktober 2021.

Walaupun pengeluaran meningkat, Wong berkata wabak itu menyebabkan kerugian berbilion ringgit dalam sektor ini.

Malaysia adalah pengeluar cip keempat terbesar di belakang Amerika Syarikat, China dan Taiwan yang merupakan pengeluar terbesar serta menyumbang sekurang-kurangnya 50% pengeluaran cip dunia.

Cip semikonduktor antara lain digunakan dalam pembuatab kereta, telefon pintar dan peranti rumah.

Data Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menunjukkan sektor elektrik dan elektronik merupakan pengeksport terbesar negara dari Januari hingga Ogos 2021. Sektor itu menyumbang 36.3% atau RM282 bilion eksport negara.

Jumlah eksport dalam tempoh yang sama ialah RM778.49 bilion. Sektor ini juga menyumbang kepada 6% daripada KDNK Malaysia.

Dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang diumumkan baru-baru ini, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata sektor ini dijangka menyumbang kira-kira RM120 bilion kepada KDNK dengan perolehan eksport sebanyak RM495 bilion menjelang 2025.

Sehubungan itu, kerajaan merancang untuk meningkatkan pelaburan dalam aktiviti bernilai tinggi seperti reka bentuk dan pembangunan dan pembuatan bahagian hadapan. – 25 Oktober, 2021.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan