22 maut Covid-19 di Sarawak, tiada kes baharu libat kluster aktif
Iklan
TIADA jangkitan baharu dilaporkan daripada baki 36 kluster aktif di Sarawak hari ini namun sebanyak 22 kematian akibat Covid-19 dilaporkan antara 7 Oktober dan semalam, kata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) hari ini.
JPBN berkata tujuh daripada kematian adalah yang maut sebelum sampai di hospital.
Mangsa paling muda merupakan seorang lelaki berusia 34 tahun yang dibawa ke hospital Sarikei, meninggal dunia pada 18 Oktober lalu.
Beliau tidak ada sejarah masalah kesihatan yang serius.
Mangsa paling tua merupakan wanita berusia 86 tahun dari Miri yang meninggal dunia pada 22 Oktober lalu.
Beliau juga tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan utama.
Terdapat 713 kes baharu di Sarawak hari ini dengan 696 kes berada dalam Kategori 1 (tiada gejala) dan 2 (gejala ringan).
Daripada kes serius, dua berada dalam Kategori 3 (jangkitan paru-paru) manakala tujuh dalam Kategori 4 (jangkitan paru-paru dan memerlukan oksigen).
Dalam Kategori 5 paling serius (jangkitan paru-paru dan memerlukan ventilator), terdapat lapan kes, kata JPBN.
Cuma Kuching (206) dan Miri (142) merupakan daerah yang jangkitan baharunya mencatat tiga digit. – 26 Oktober, 2021.