'Layanan istimewa' Najib jadi contoh tidak baik, kata pemerhati
Iklan
TINDAKAN mahkamah membenarkan pemulangan pasport sementara kepada bekas perdana menteri Najib Razak menjejaskan kredibiliti badan kehakiman, kata peguam, pesara penjawat awam dan ketua kumpulan antirasuah.
Orang ramai tidak memahami keputusan membenarkan perjalanan Najib ke luar negara selain kegagalan pihak pendakwaan membantah permohonan itu, kata mereka kepada The Malaysian Insight.
Bekas presiden Badan Peguam Malaysia Salim Bashir Bhaskaran berkata, kebenaran yang diberikan mahkamah baru-baru ini untuk personaliti berprofil tinggi mendapatkan semula pasport buat sementara waktu akan digunakan sebagai contoh bagi kes serupa pada masa hadapan.
“Kes Najib dan isterinya Rosmah Mansor akan digunakan sebagai contoh untuk mengukuhkan dan memujuk mahkamah bagi menggunakan budi bicara dalam membenarkan permohonan yang sama,” kata Salim.
Tidak ada satu pun pasukan pendakwaan dalam semua perbicaraan melibatkan Najib, Rosmah, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan peguam Muhammad Shafee Abdullah membantah permohonan mereka mendapatkan semula pasport.
“Persoalan yang harus ditanya ialah apakah asas dan alasan tunggal untuk tidak membantah permohonan itu.
“Orang ramai mesti dimaklumkan sebab-sebabnya dan garis panduan jika ada kerana ini boleh membantu memberi penjelasan terhadap semua permohonan serupa pada masa hadapan,” katanya.
Salim berkata terdapat banyak kes yang berlaku sebelum ini di mana pasport dikeluarkan oleh mahkamah kepada tertuduh atas alasan yang difikirkan perlu untuk ke luar negara.
“Tiada sebab khusus dinyatakan dalam undang-undang tetapi secara amnya ia tertakluk kepada budi bicara mahkamah untuk menilai kepentingan membenarkan perjalanan berdasarkan permohonan,” katanya.
Sejak berita itu, keputusan mahkamah membenarkan Najib ke luar negara dan meminda tarikh mendapat kritikan umum yang lebih besar berbanding lain.
“Pandangan berbeza bagi situasi Rosmah dan Najib ialah kes Rosmah masih belum selesai dan dia dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah,” katanya.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Najib pada 28 Julai tahun lepas atas tuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa membabitkan RM42 juta milik anak syarikat 1MDB SRC International.
Dia dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Susulan kritikan itu, Najib semalam memberikan maklum balas dan berkata beliau tidak menerima sebarang layanan istimewa dalam mendapatkan semula pasport sementaranya untuk perjalanan ke Singapura.
“Layanan berbeza apa?” soalnya.
“Saya mohon pasport sementara dari mahkamah,” katanya.
Beliau berkata keputusan untuk melepaskan pasportnya dibuat sebulat suara oleh panel tiga hakim dan Mahkamah Rayuan. – 27 Oktober, 2021
Berita penuh di sini.