Iklan

Umno kerjasama dengan PAS pada PRN Melaka, kata Ahmad Maslan

Diyana Ibrahim3 years ago29th Oct 2021Berita
Ahmad maslan
Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata kerjasama pada PRN Melaka berpandukan kepada prinsip bahawa PAS menggunakan lambang partinya sendiri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Oktober, 2021.
Iklan

UMNO akan meneruskan kerjasama dengan PAS menerusi gabungan Muafakat Nasional dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini, kata setiausaha agungnya Ahmad Maslan.

Beliau berkata keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Khas Kerja Tertinggi (MKT) Umno sebentar tadi.

Mesyuarat MKT juga katanya bersetuju PAS menggunakan lambang parti itu sendiri dalam PRN Melaka bagi mengelakkan sebarang pertembungan.

“Mesyuarat memutuskan untuk meneruskan persefahaman dengan parti PAS selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung Umno 2020 iaitu memperkukuhkan Umno dalam PRN Melaka.

“Asas persefahaman dengan PAS berpandukan kepada prinsip bahawa PAS menggunakan lambang partinya sendiri selaras dengan semangat dan ketetapan Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional.

“Ini adalah untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri dan pada masa yang sama mengekalkan penggunaan lambang parti masing-masing dalam pilihan raya,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook Umno Online.

Ditanya bagaimana jika PAS menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN), Ahmad Maslan berkata perkara itu akan diputuskan oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Selain itu, beliau berkata mesyuarat MKT juga memutuskan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dilantik sebagai pengarah PRN Melaka.

Pada 25 Oktober lalu, PAS dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN setuju untuk bertanding PRN Melaka menggunakan lambang gabungan itu bersama komponen lain iaitu Bersatu dan Gerakan.

Suruhanjaya Pilihan Raya SPR menetapkan 20 November sebagai tarikh PRN  selepas empat Adun yang diketuai Adun Umno Sungai Udang, Idris Haron, mengumumkan keputusan mereka untuk menarik balik sokongan kepada kerajaan negeri pimpinan Sulaiman Md Ali. – 28 Oktober, 2021. 

Iklan
Iklan