BN mohon kurangkan kompaun RM10,000 kes langgar SOP, kata Ahmad Maslan
Iklan
BARISAN Nasional akan memohon pengurangan bagi denda RM10,000 yang dikenakan atas kegagalan menjaga jarak fizikal hadirin dalam satu acara, kata pemimpin parti komponen.
Setiausaha agung Umno Ahmad Maslan berkata kejadian hadirin bersesak-sesak di acara Rabu malam di ibu pejabat parti itu berlaku di luar kawalan mereka.
Tambahnya mereka berusaha sebaik mungin akan mematuhi prosedur operasi tetap (SOP) yang dikuatkuasa bagi program pelancaran jentera pilihan raya itu.
“Kami bukan sengaja langgar SOP ditetapkan sebab itu malam semalam pelancaran bukan guna satu dewan kami guna. Umno ingin jaga SOP, sebab itu kita guna dua dewan.
“Apa yang berlaku dalam dua dewan itu, (ahli) ikut SOP dan pakai topeng muka tapi kita mungkin tidak boleh 100% kawal pergerakan di luar.
“Jadi kita akur dan bayar kompuan tapi kita rayu kadar itu dikurangkan,” katanya dalam sidang media pada malam tadi.
Beliau mengulas kompaun RM10,000 yang dikeluarkan Pejabat Kesihatan Kepong pada Rabu malam atas kesalahan tersebut.
Mengulas lanjut, Ahmad turut berkata mesyuarat MT Umno malam ini juga membincangkan rayuan untuk melonggarkan SOP bagi tujuan berkempen semasa PRN Melaka.
Mereka berharap kerajaan akan dapat membenarkan kempen rumah ke rumah dengan kehadiran terhad di sesebuah kediaman.– 29 Oktober, 2021.