Syarikat senaraian awam wajib lantik sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita, kata Zafrul

Iklan
PUTRAJAYA telah mewajibkan syarikat senaraian awam melantik sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita mulai 1 September 2022 sebagai pengiktirafan terhadap kaum itu dalam tenaga kerja, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.
Ketika ini, beliau berkata wanita cuma memegang 25 peratus daripada komposisi ahli lembaga pengarah bagi 100 syarikat awam utama, menambah terdapat 27 peratus atau 252 syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang tidak ada wanita dalam lembaga pengarahnya.
“Kaum wanita, jika diberi peluang dan ruang, boleh menjadi daya penggerak utama produktiviti dan ekonomi negara,” kata Tengku Zafrul ketika membentangkan Bajet 2022 di Parlimen hari ini.
“Sumbangan wanita dalam ekonomi tidak pernah dinafikan malah perlu diperkukuh.”
Buat ketika ini, kaum wanita cuma mewakili 38 peratus tenaga kerja formal.
Kerajaan memperuntukkan RM5 juta kepada Yayasan Kepimpinan Wanita bagi merancakkan penyertaan wanita dalam sektor ekonomi melalui antaranya latihan kepimpinan muda dan program keusahawanan.
Bagi membantu usahawan wanita yang turut terkesan akibat Covid-19 serta sebagai langkah meningkatkan kapasiti perniagaan mereka, sejumlah 230 juta ringgit dana pembiayaan akan disediakan antaranya melalui Program Dananita di bawah Mara dan Tekunita di bawah Tekun.
Kerajaan juga akan melaksanakan Program MyKasih Kapital untuk menggalakkan wanita menjana pendapatan dari rumah.
“Insentif dalam bentuk bantuan asas modal perniagaan akan diberikan di samping program bimbingan bagi menggalakkan perniagaan secara dalam talian. 5,000 peserta termasuk 2,000 ibu tunggal akan meraih manfaat daripada program ini,” kata Tengku Zafrul.
Tambahnya RM30 juta akan diperuntukkan untuk menyediakan kemudahan taska di bangunan Kerajaan khususnya di hospital dan universiti awam bagi menambah baik sistem sokongan sedia ada buat ibu bekerja.
“Kerajaan juga menggalakkan majikan swasta membuat pengaturan kerja yang fleksibel serta menyediakan kemudahan taska di pejabat. Untuk itu, selain insentif cukai, Kerajaan juga akan meminda garis panduan membenarkan taska beroperasi di aras di atas tingkat 1 pejabat,” kata Zafrul.
“Sebagai mengiktiraf wanita berkerjaya yang menguruskan anak-anak mereka ketika waktu bekerja, Kerajaan bercadang untuk melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga 3 ribu ringgit bagi bayaran yuran taska dan tadika sehingga tahun taksiran 2023,” katanya.
Menangani keganasan rumah tangga
Bagi memerangi kes keganasan rumah tangga yang menyaksikan peningkatan semasa pandemik, RM13 juta akan diperuntukkan untuk memperkasa untuk memperkasa Bahagian D11 Polis Diraja Malaysia bagi Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak.
“Di samping itu, program kesedaran komuniti berhubung keganasan terhadap wanita di seluruh negara melalui Skuad WAJA akan dilaksanakan,” kata Tengku Zafrul.
Kerajaan juga akan meningkatkan Pusat Sokongan Sosial Setempat serta bekerjasama dengan NGO untuk meningkatkan bilangan Rumah Perlindungan Khas Wanita.
Tinjauan mendapati pandemik dan kesan sekatan pergerakan telah menyumbang kepada peningkatan keganasan rumah tangga secara global, dengan wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa utama.
Pada September lepas, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mendedahkan di Dewan Rakyat sebanyak 9,015 kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dikuatkuasakan pada Mac 2020.
Zafrul turut mengumumkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Malaysia dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia akan mengagihkan kit asas kebersihan diri percuma setiap bulan kepada 130,000 gadis B40.
Selain itu, kempen dan pendidikan kesihatan reproduktif juga akan terus dijalankan di sekolah dengan kerjasama NGO.
“Aspek kesihatan dan kebersihan diri remaja wanita amat penting dalam mengurangkan sebarang risiko kesihatan dan keciciran di sekolah,” lata Tengku Zafrul.
Tambahan pula, berhubung segmen kesihatan wanita, sejumlah lebih RM11 juta akan disediakan sebagai subsidi ujian mammogram kepada wanita berisiko tinggi dan melaksanakan ujian saringan kanser serviks kepada wanita. – 29 Oktober, 2021.