Pejabat Perdana Menteri dapat peruntukan tambahan RM477 dalam Bajet 2022
Iklan
PEJABAT Perdana Menteri menerima peruntukan tambahan walaupun cuma 4 peratus atau RM477 juta dalam Bajet 2022.
Dalam bajet tahun depan, pejabat Ismail Sabri Yaakob akan diberi RM4.52 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM7.67 bilion untuk perbelanjaan pembangunan, menjadikan jumlah keseluruhan RM12.2 bilion.
Peningkatan tahun lepas untuk pejabat bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin adalah lebih tinggi pada RM2.95 bilion atau 33 peratus, menjadikannya sejumlah RM11.73 bilion.
Bajet Pejabat Perdana Menteri pada 2019 dan 2020 masing-masing adalah sebanyak RM6.9 bilion dan RM8.7 bilion.
Bagi Ismail Sabri, sebahagian besar peruntukan RM457 juta itu akan digunakan untuk perbelanjaan pembangunan.
Walaupun perbelanjaan mengurus telah banyak dikurangkan di beberapa jabatan, namun ada tiga perkara menyaksikan peruntukan lebih besar bagi tahun depan.
Antaranya, Majlis Keselamatan Negara yang diberi peruntukan tambahan RM290 juta untuk perbelanjaan mengurus, menjadikan bajet tahun depan mereka sebanyak RM332 juta.
Perkara lain termasuk program pembangunan RM466 juta, program e-kerajaan (RM802 juta) dan penyelenggaraan kuarters kerajaan dan kediaman rasmi (RM257 juta).
Laporan itu bagaimanapun tidak jelaskan mengapa bajet yang besar diperuntukkan.
Dari segi pembangunan, Program Kelestarian Felda diperuntukkan RM1.14 bilion diikuti projek khas (RM1 bilion) dan kerajaan digital (RM177 juta).
Lebih menarik, peruntukan untuk program basmi kemiskinan direndahkan kepada RM34 juta daripada RM55 juta.
Terdahulu Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz membentangkan belanjawan negara yang lebih tinggi sebanyak RM332 bilion untuk 2022.
Sementara itu, satu lagi kementerian yang diperuntukkan jumlah yang lebih besar ialah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Bagi 2022, kementerian di bawah Annuar Musa itu akan diperuntukkan RM2.62 bilion, 12 peratus atau RM313 juta lebih daripada tahun sebelumnya.
Walaupun peruntukan bajet lebih tinggi, kementerian itu telah membuat bajet untuk kurangkan perbelanjaan pengurusan. Dalam hal sama, bajet RTM untuk tahun depan dipotong daripada RM586 juta kepada RM469 juta manakala peruntukan Jabatan Penerangan pula dikurangkan kepada RM142 juta daripada RM158 juta.
Oleh itu, sebahagian besar daripada peningkatan atau tambahan RM586 juta disalurkan kepada perbelanjaan pembangunan.
Antara perkara yang disenaraikan dalam perbelanjaan pembangunan ialah Jalinan Digital Negara (Jendela) RM700 juta, pembangunan semula Angkasapuri sebagai Bandar Media (RM175 juta), sistem TV digital definisi tinggi (RM84 juta), sistem automasi radio (RM50 juta), sistem penyiaran FM (RM53 juta), menaik taraf pejabat Jabatan Penerangan (RM36 juta) dan membina infrastruktur komunikasi untuk bandar pintar (RM100 juta). – 29 Oktober, 2021.