Ahli Parlimen minta maaf kenyataan 'minum wanita Melayu'
Iklan
AHLI Parlimen Tangga Batu Rusnah Aluai yang memberi gambaran peminum minum wiski jenama Timah seolah-olah “meminum wanita Melayu” telah memohon maaf, berkata bukan niatnya untuk menyinggung perasaan sesiapa.
Ahli Parlimen PKR itu menjelaskan niat beliau adalah supaya rakyat Malaysia tidak keliru dengan jenama arak tersebut.
“Saya meneliti respon dan maklum balas terhadap ucapan saya di Parlimen berhubung isu ‘Timah’ tempoh hari.
“Walaupun niat asal saya adalah untuk memastikan tidak timbul kekeliruan berkait label tersebut, ucapan saya telah disalah erti.
“Oleh itu, kepada pihak-pihak yang tersinggung akan ucapan tersebut, saya memohon maaf,” katanya melalui satu hantaran di Facebook.
Sebelum ini semasa perbahasan Akta Perihal Dagangan di Dewan Rakyat, Rusnah berkata nama Timah itu amat mengelirukan dan menghina kerana Timah adalah nama yang dikaitkan dengan wanita Melayu, seperti “Kak Timah” atau “Makcik Timah”.
“Apabila kita meminum wiski itu, selah-olah kita meminum wanita Melayu,” katanya dipetik sebagai berkata.
Rusnah turut menegaskan penutup kepala yang dipakai Kapten Speedy pada label botol itu kelihatan terlalu mirip kopiah Muslim.
“Tidak adakah gambar Kapten Speedy ini yang memakai topi?” soal ahli Parlimen Pakatan Harapan itu.
Rakaman perdebatan Rusmah yang tular di media sosial mendapat kritikan hebat warganet.
Wiski itu telah berada di pasaran buat sementara waktu sekarang dan telah mendapat pengiktirafan antarabangsa dengan anugerah global tahun lepas dan tahun ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi semalam berkata syarikat itu, Winepark Corporation (M) Sdn Bhd, telah memohon tempoh satu minggu untuk berbincang dengan pemegang saham dan lembaga pengarah mereka bagi menukar nama dan imej pada label produk arak keluaran mereka.
Terdapat penjelasan jelas di laman web syarikat yang Timah merujuk kepada zaman perlombongan bijih timah di Perak di bawah British Malaya, apabila Kapten Speedy – maskot dan imej wiski pada labelnya – merupakan penolong penduduk Larut pada 1800-an.
Bagaimanapun, masih ada yang merasakan imej label Kapten Speedy, yang memakai kopiah Ethiopia dan berjanggut panjang, mempunyai persamaan dengan seorang Muslim. – 29 Oktober, 2021.