Bersatu, PAS mesti kerjasama dengan Umno di Melaka, kata Redzuan
Iklan
BERSATU dan PAS perlu bekerjasama dengan Umno dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka untuk memastikan kemenangan lebih besar daripada majoriti yang ada pada kerajaan negeri sebelum ini, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Mohd Redzuan Md Yusof.
Beliau yakin kerjasama Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) mampu menang sehingga 22 kerusi daripada keseluruhan 28 kerusi di Dewan Undangan Negeri Melaka.
“Kita dengar ura-ura Bersatu nak bertanding 28 kerusi. Saya rasa kena timbang balik, kita kena realistik, kena tengok siapa kita,” katanya, kepada The Malaysian Insight.
Redzuan menjelaskan kerjasama Bersatu, PAS dan Umno dalam PRN Melaka penting untuk mengekalkan kepimpinan Melayu, yang seterusnya akan mencerminkan senario politik di peringkat nasional.
“Pemimpin Melayu mesti memimpin bangsa Malaysia sebab kita penduduk yang besar di negara kita.
“Saya rasakan kerjasama ini penting… kalau ada masa saya rasa perlu pemimpin Bersatu dan Umno duduk semeja untuk isu ini,” katanya.
Redzuan diminta mengulas kedudukan Bersatu menjelang PRN Melaka, yang ditetapkan 20 November ini.
Sebelum pembubaran DUN Melaka, kerajaan yang diterajui Umno pimpinan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali mempunyai 17 wakil rakyat berbanding PH 11.
DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober selepas empat wakil rakyat, termasuk tiga exco kerajaan negeri, menarik balik sokongan kepada Sulaiman sebagai ketua menteri.
Empat wakil rakyat itu ialah bekas ketua menteri Idris Harun dan Nor Azman Hassan dari Umno, serta Noor Effandi Ahmad dari Bersatu dan wakil rakyat bebas Norhizam Hassan Baktee.
Awal minggu ini, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang juga presiden Bersatu mengumumkan keputusan Bersatu, PAS dan Gerakan sepakat bertanding menggunakan lambang PN.
PN juga akan bertanding semua 28 kerusi selepas Umno menegaskan tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu tetapi mahu bekerjasama dengan PAS.
Bersatu belum cukup kuat
Mengulas kedudukan partinya, Redzuan berpandangan Bersatu Melaka masih belum cukup kuat untuk menghadapi pilihan raya, selain berdepan cabaran dalaman antara pimpinan negeri dan kekurangan ahli di akar umbi.
Beliau mengakui Bersatu Melaka berpecah dan perpecahan itu, walaupun tidak kritikal, menjejaskan perpaduan parti.
“Unsur perpecahan ini bukanlah yang sampai memecah belah parti yang begitu kritikal tapi ia lebih kepada unsur perbezaan pendapat yang boleh menjejaskan perpaduan ahli, boleh katakan pimpinan Bersatu Melaka ini kurang bersatu.
“Isu ini kita boleh dengar sendiri daripada ahli akar umbi.
“Tapi bagi saya ia bukan menjadi masalah besar jika boleh uruskan kepimpinan dengan lebih berhemah dan tahu tentang hala tuju parti yang tahu menguruskan parti. Saya fikir mana-mana parti ada masalah yang begitu,” katanya.
Beliau juga berpandangan prestasi Bersatu Melaka masih tidak memberangsangkan sejak selepas PRU14 kerana terganggu dengan masalah dalaman parti, selain masih ada cawangan parti yang belum dapat ditubuhkan sepenuhnya.
Redzuan, yang juga bekas ketua Bersatu Melaka, menjelaskan PRN Melaka bulan depan tidak sama dengan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Beliau memberi contoh sokongan jentera pilihan raya Pakatan Harapan (PH) pada masa itu, yang sekarang tiada lagi selepas Bersatu keluar daripada gabungan berkenaan, dan sentimen pengundi yang juga berbeza.
“Kalau dulu PRU14 tsunami itu besar tapi sekarang banyak perkara (sentimen) semasa PRU14 yang tidak wujud lagi.
“Dulu kita tak bersendirian sebab ada PH. Tapi kali ini kita kena kerjasama dengan orang yang kita nak kerjasama,” katanya.
Redzuan juga mendakwa tidak dirujuk oleh barisan kepimpinan parti negeri untuk menguatkan jentera akar umbi, biarpun beliau pengasas Bersatu di Melaka.
“Kita ada 16,000 ahli… tanya saya, itu yang saya hairan… adakah mereka mempunyai formula yang berasingan untuk bawa kemenangan kepada Bersatu Melaka,” tanyanya.
Sementara itu, Setiausaha Bersatu Melaka Zamzuri Ariffin berkata Bersatu Melaka, yang mempunyai enam bahagian, bagaimanapun menambah empat kali ganda ahli melalui lebih 100 buah cawangan selepas PRU14, katanya.
Beliau menolak dakwaan akar umbi Bersatu lemah dan dahulu banyak bergantung kepada PH.
“Untuk pilihan raya ini akar umbi kita memang mencukupi di semua DUN, mungkin kita akan tambah sikit akar umbi untuk perjalanan lebih lancar. Tapi nak kata kita dulu kita banyak bergantung pada PH tidak betul.
“Macam saya dulu bertanding di DUN Asahan, jentera banyak dari Bersatu yang parti lain itu sangat kurang,” katanya.
Zamzuri bagaimanapun tidak dapat memberikan jumlah tepat ahli parti di negeri itu ketika ini.
Dalam pada itu, pensyarah politik di Universiti Malaya Dr Awang Azman Awang Pawi berpendapat kekuatan Bersatu di Melaka sebelum ini didorong oleh sokongan pengundi Cina dan logo PKR, yang dipakai dalam PRU14.
“Keadaan berbeza kali ini kerana Bersatu bukan lagi bersama Pakatan Harapan. Bersatu kini menjadi parti yang bertanding dalam PRN Melaka.
“Bantuan PAS diharap dapat membantu kekuatan Bersatu tapi tak cukup memberikan impak besar dalam PRN Melaka,” katanya.
Seorang lagi pensyarah politik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali pula berpendapat Bersatu tidak lemah seperti tanggapan dan dakwaan beberapa pihak.
Bersatu mempunyai sokongan kerana pengaruh presidennya Muhyiddin Yassin, yang diterima oleh pengundi terutamanya golongan berpendapatan rendah yang menerima banyak bantuan kerajaan selama ini, sepanjang krisis Covid-19.
Populariti Muhyiddin juga mempengaruhi populariti pemimpin Bersatu di Melaka, yang kini dipimpin Adun Paya Rumput Mohd Rafiq Naizamohideen, yang juga naib presiden Bersatu.
“Semasa jadi perdana menteri Muhyiddin banyak buat polisi yang popular.
“Kita sedia maklum rakyat terutama golongan B40, mereka suka kepada kerajaan yang banyak memberikan bantuan dan insentif,” katanya. – 30 Oktober, 2021.