Iklan

Ahli ekonomi optimis dengan Bajet 2022, walau cabaran besar wujud

Ragananthini Vethasalam3 years ago30th Oct 2021Berita
Kl daily 261021 tmiseth 02
Bajet 2022 sangat penting bagi memastikan Malaysia berada di landasan tepat pemulihan ekonomi selepas bergelut dengan krisis berkembar kesihatan dan ekonomi tergetir pernah wujud dalam sejarah negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2021.
Iklan

BAJET 2022 bernilai RM332.1 bilion akan mengukuhkan ekonomi negara ketika ia mula pulih daripada krisis berkembar kesihatan dan ekonomi, tetapi kutipan perolehan masih satu cabaran, kata ahli ekonomi.

Pelan perbelanjaan negara bertemakan “Keluarga Malaysia Makmur Sejahtera” itu dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam, adalah yang terbesar setakat ini. Ia juga adalah bajet tahunan kedua dibentangkan ketika pandemik Covid-19.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu The Malaysian Insight yang peruntukan besar itu mencadangkan wujudnya kesan fiscal yang signifikan.

“Pemindahan tunai kepada yang memerlukan, subsidi berserta jangkaan lebih baik untuk harga minyak mentah akan membantu kerajaan memacu ekonomi negara ke arah kedudukan lebih kukuh. Ini tergambar dalam jangkaan KDNK lebih tinggi untuk tahun hadapan iaitu 5.5% dan 6.5% daripada jangkaan 3% hingga 4% tahun ini,” katanya.

Paling penting, kerajaan komited untuk membentangkan Akta Tanggungjawab Fiskal tahun hadapan.

Afzanizam berkata ini sangat mustahak untuk memastikan ketelusan dan displin lebih baik bagi mengawal kewangan kerajaan.

Akta yang dicadangkan itu diumumkan Tengku Zafrul semalam, bermatlamat untuk meningkatkan tadbir urus, kebertanggungjawaban dan ketelusan ketika kerajaan menambah perbelanjaan bagi memulihkan ekonomi dan mengurusan Covid-19 walaupun berdepan kesukaran kutipan perolehan.

Cabaran perolehan

Pakar Ekonomi OCBC Bank Wellian Wiranto berkata peluasan bajet semalam sehingga mengatasi peruntukan RM322.5 bilion tahun lepas bukanlah sesuatu yang mengejutkan, kerana ia diperlukan untuk merangsang pemulihan ekonomi.

Perbelanjaan itu juga dipacu oleh kemungkinan yang pilihan raya umum akan berlangsung tahun depan, tambahnya.

“Malah, pada 6.0% daripada KDNK, deficit lebih tinggi berbanding 5.0% - 5.5% yang kita jangkakan, menandakan hasrat kerajaan memaksimumkan apa sahaja ruang fiskal yang ada,” katanya.

Walaupun Peruntukan Anggaran Perbelanjaan Pembangunan (DE) sebanyak RM75.6 bilion (berbanding RM62 bilion pada 2021) masih rendah berbanding jangkaan, ia sepatutnya membantu merangsang pertumbuhan dalam jangka pendek dan meletakkan asas pemulihan pada tempoh jangka sederhana.

OCBC menjangkakan DE sekitar RM80 bilion berdasarkan anggaran kerajaan tentang kos Rancangan Malaysia Ke-12 selama lima tahun adalah sekitar RM400 bilion. – 30 Oktober, 2021.

Berita penuh di sini. 

Iklan
Iklan