Sarawak kesan 780 kes varian Delta dalam 3 minggu
Iklan
INSTITUT Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak mengesan 780 lagi kes varian Delta Covid-19 di negeri ini, dedah Timbalan Ketua Menteri Amar Douglas Uggah Embas
Uggah yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, data itu diperoleh daripada ujian yang dijalankan antara pertengahan bulan lau dan 8 Oktober.
Makmal ICHM di Kota Samarahan secara rasmi dipertanggungjawabkan untuk mengesan varian Covid-19 di negeri ini.
Pengarah IHCM Dr David Perera dalam laporannya kepada Uggah menyatakan analisis lanjut varian Delta yang ditemui di negeri ini mendapati sub-varian yang dominan ialah AY.23.
AY.23 bagi varian Delta juga sedang merebak di Singapura.
Dr Perera melaporkan sub-varian Delta lain yang dikesan secara sporadis termasuk AY.24, AY.33, AY.34 dan AY.37.
Menurut Dr Perera, terdapat satu kes AY.24 masing-masing di Kuching, Miri dan Sibu, satu kes AY.33 di Bintulu, satu di Samarahan dan dua di Bintulu membabitkan AY.34 dan dua kes AY. 37 di Kuching.
Dr Perera juga memaklumkan kepada Uggah bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini telah menyemak senarai klasifikasi varian SARS-CoV-2 “untuk mencerminkan profil risiko semasa varian ini”.
Beliau berkata semua Varian Diwaspadai (VOI) yang disenaraikan sebelum ini dan beberapa Varian Membimbangkan (VOC) – Alfa, Beta dan lain-lain – kini diklasifikasikan sebagai Varian Dalam Pemantauan (VBM).
Hanya Delta kekal dalam senarai VOC.
Jumlah kumulatif kes varian Delta dikesan sehingga 8 Oktober di negeri ini ialah 1,782 daripada lebih 3,000 pesakit positif Covid-19, kata Dr Perera.
Kuching yang mempunyai bilangan penduduk paling ramai merekodkan jumlah kes terbanyak 712, diikuti Bintulu (373), Samarahan (182), Sibu (167), Serian (127) dan Miri (88).
Sementara itu, Kapit mempunyai 37 kes, Mukah (22), Sarikei dan Sri Aman (masing-masing 20 kes) dan Betong (19).
Daerah Limbang yang terletak di utara negeri itu hanya mencatatkan satu kes. – 30 Oktober, 2021.