Iklan

Bila Sabah, Sarawak akan terima peruntukan seimbang? soal bekas Adun

Desmond Davidson3 years ago30th Oct 2021Berita
49932518613 e0e13b8c1d c
Sejak penubuhan Persekutuan Malaysia pada 1963 tumpuan peruntukan pembangunan sentiasa memihak kepada Tanah Melayu, kata bekas Adun Petagas, James Ligunjang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober 2021.
Iklan

BEKAS Adun Sabah mempersoalkan sampai bila Sabah dan Sarawak akan mencapai keseimbangan pembangunan dengan semenanjung jika kedua-dua wilayah Borneo itu hanya menerima RM9.8 bilion peruntukan pembangunan di bawah Bajet 2022.

Sabah diperuntukkan RM5.2 bilion manakala Sarawak akan menerima RM4.6 bilion dalam bajet yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz semalam.

Bekas wakil rakyat Petagas, James Ligunjang berkata sejak 1963, merujuk kepada tahun Persekutuan Malaysia ditubuhkan, tumpuan peruntukan pembangunan sentiasa memihak kepada Tanah Melayu biarpun janji manis diberikan perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman dalam ucapannya semasa pembentukan Malaysia.

Pemangku Ketua PKR Sarawak Abang Zulkifli Abang Engkeh turut bertanyakan soalan yang sama.

Beliau berkata jumlah itu sama dengan apa yang Sarawak peroleh semasa pemerintahan Barisan Nasional.

Zafrul bagaimanapun berkata, jumlah peruntukan pembangunan untuk infrastruktur air, elektrik dan jalan raya serta kemudahan kesihatan dan pendidikan sudah ditingkatkan

Abang Zulkifli juga bertanya mengapa Bajet 2022 hanya dinaikkan “sedikit sahaja” daripada Bajet 2021 ketika negara masih melawan pandemik Covid-19.

Jumlah pertuntukan RM332 bilion hanyalah peningkatan RM9.6 bilion daripada RM322.5 bilion yang diperuntukkan dalam Bajet 2021.

Beliau turut menarik perhatian bahawa petani seolah-olah dipinggirkan dalam Bajet 2022 kerana senyap sekiranya petani akan terus menerima subsidi baja subsidi kerajaan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii mempersoalkan mengapa geran khas kepada Sarawak masih berjumlah RM16 juta dalam Bajet 2022.

Pemberian itu merupakan peruntukan mandatori di bawah Perkara 122 (d) perlembagaan persekutuan.

Dalam catatan di laman Facebooknya, Yii berkata dalam Belanjawan Pakatan Harapan 2020, kerajaan menggandakan geran RM16 juta yang telah diperuntukkan sejak Malaysia ditubuhkan pada 1963, kepada RM32 juta.

Jumlah itu, katanya, akan dinaikkan lagi kepada RM64 juta dalam tempoh lima tahun akan datang.

Janji itu tidak dapat ditunaikan kerana kerajaan PH tumbang pada Februari 2020 apabila kehilangan majoriti parlimen selepas 26 ahli Parlimennya berpaling tadah.

Jumlah itu mula dikurangkan kepada RM16 juta oleh kerajaan Perikatan Nasional dalam Bajet 2021. – 30 Oktober, 2021.

Iklan
Iklan