Iklan

Putrajaya perlu tolong perniagaan terbeban hutang sewa, kata persatuan

Aminah Farid3 years ago30th Oct 2021Berita
50958335836 475ec230c9 o
Presiden Persatuan Pusat Beli-Belah Malaysia Teo Chiang Kok mencadangkan kerajaan membeli hutang sewa penyew lot kedai, dengan melancarkan dana melalui mekanisme pemfaktoran dan pendiskaunan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2021.
Iklan

PUTRAJAYA perlu beli hutang sewa perniagaan yang menyewa lot kedai seperti yang dilakukan ketika kemelesetan ekonomi sebelum ini, kata Persatuan Pusat Beli-Belah Malaysia.

Presidennya, Teo Chiang Kok berkata kesan Covid-19 dan pelbagai perintah kawalan pergerakan menyebabkan banyak pemilik perniagaan berhutang besar dengan tuan tanah mereka.

Beliau berkata kerajaan boleh melancarkan dana dan membeli hutang sewa melalui mekanisme pemfaktoran dan pendiskaunan.

“Ini adalah untuk mencairkan semula sistem bagi memastikan pemulihan dan kebangkitan ekonomi serta perniagaan selain memastikan lebih banyak peluang kejayaan, ini satu-satunya seruan kami,” katanya semasa sidang media maya yang dihoskan oleh Industries Unite.

Tahun lepas, dalam usaha membantu pemulihan ekonomi, kerajaan mewartakan Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 yang antara lain memberikan pelepasan sementara daripada obligasi kontrak.

Sejak akta itu dilaksanakan, ia telah melindungi pemilik perniagaan yang tidak mampu membayar ruang yang disewa.

Seksyen itu menyebut: “Ketidakupayaan mana-mana pihak atau pihak-pihak untuk melaksanakan apa-apa obligasi kontraktual yang timbul daripada mana-mana kategori kontrak yang dinyatakan dalam Jadual kepada Bahagian ini yang disebabkan oleh langkah-langkah yang ditetapkan, dibuat atau diambil di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] untuk mengawal atau mencegah merebaknya Covid-19 tidak membolehkan pihak atau pihak-pihak lain untuk menjalankan haknya atau hak mereka di bawah kontrak.”

Teo berkata kini sudah tiba masanya perniagaan mengkaji cara membiayai semula perniagaan mereka dan mendapatkan semula kecairan bagi memastikan kelangsungan hidup mereka.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Pemilik Restoran dan Bistro (PPRB), Jeremy Lim menggesa kerajaan pertimbang untuk beri beberapa tahap bantuan kewangan secara langsung dan tidak langsung kepada pengusaha makanan dan minuman (F&B).

“Ramai ahli kami atau mana-mana pengendali F&B telah mengalami tekanan yang luar biasa. Aliran tunai setiap orang semakin merosot. Kami ada hutang yang semakin meningkat. Dan kami berhadapan dengan banyak ketidakpastian. Kami merayu kepada kerajaan. Sila berikan beberapa bantuan kewangan secara langsung dan tidak langsung.”

Beliau berkata kerajaan boleh membantu dengan menangguhkan semua pembayaran cukai korporat bulanan, bayaran berkanun, pembayaran SST, melanjutkan tempoh sah laku semua lesen sekurang-kurangnya 12 bulan, dan meneruskan program subsidi gaji semasa sehingga Jun 2022.

“Dalam tempoh 19 bulan lalu, industri kami telah diganggu dengan mandat kerajaan yang terputus-putus. Makan di premis dilarang dan kerana ini ramai yang telah menanggung hutang yang semakin meningkat.”

“Untuk menyelamatkan perniagaan dan mata pencarian, kerajaan mesti menawarkan bantuan kewangan secara langsung dan (F&B) secara bersasar dengan segera, sila benarkan perniagaan dapat aliran tunai yang mencukupi untuk dibuka semula dan membayar balik hutang mereka,” katanya.

Jeremy berkata akan lebih membantu jika kerajaan melanjutkan tamat tempoh lesen operasi mereka kerana terdapat beberapa kali restoran terpaksa beroperasi pada kapasiti terhad atau tanpa makan di premis disebabkan PKP.

Akhir sekali, ia juga menggesa kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Pelaporan Industri.

Jeremy berkata ini akan menjadi jawatankuasa kerja yang terdiri daripada penggubal dasar, wakil penguatkuasaan dan peneraju industri.

“Jawatankuasa itu akan menjadi pusat sehenti untuk industri mengenai sebarang dasar berkaitan pandemik dan menangani sebarang isu dari akar umbi dengan tergesa-gesa.” – 30 Oktober, 2021.

Iklan
Iklan