Hari-hari terakhir penarik beca Kuala Terengganu
Iklan
SETIAP hari tepat jam 8 pagi, Abdul Wahab Abdul Rahman, 76, akan berada di Pasar Payang, di Kuala Terengganu menunggu pelanggan menaiki becanya.
Itulah rutin Abdul Wahab hampir setiap hari sejak jadi pengayuh beca ketika umurnya 18 tahun.
Bukan Abdul Wahab seorang, pengayuh beca Pasar Payang lain juga sama; dari usia seawal remaja sampai menanjak tua melakukan kerja itu tanpa lelah – biarpun tiada pelanggan.
Abdul Wahab mendakwa merekalah kumpulan pengayuh beca terakhir di Terengganu dan selepas ini perkhidmatan teksi tradisional di negeri itu mungkin akan pupus.
“Dalam tempoh lima atau 10 tahun beca Terengganu akan pupus. Selepas kami, beca Terengganu tidak akan ada lagi sebab kita tak ada pelapis,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Warga emas itu berkata ketika ini hanya tinggal 23 sahaja pengayuh beca yang masih aktif di Terengganu, termasuk yang paling tua berusia 78 tahun.
Bagi Abdullah Mohd, 65, ketiadaan pelapis menjadi faktor beca di Terengganu bakal pupus. Namun beliau faham, tiada anak muda mahu bersusah payah ‘mengayuh’ tetapi upah yang diterima hanya sedikit.
“Kami sendiri pun bergelut mencari duit untuk sesuap nasi bagi menyara keluarga.
“Dulu pun sebelum pandemik Covid-19 tak ramai juga nak naik beca. Bila pandemik melanda dan adanya larangan rentas negeri lagilah kami terjejas sebab pelancong tak ada.
“Bila rentas negeri dibenarkan keadaan tetap sama juga buat kami, masih bergelut,” katanya.
Ambil upah bawa sayur, barangan runcit, jaja kuih
Kerana kesukaran itu, Abdullah mencari alternatif lain dengan mengambil upah membawa sayur dan barangan runcit dari Pasar Payang untuk dihantar ke restoran atau kedai makan.
“Dengan dua kerja ini, ambil pelanggan dan bawa barang runcit bolehlah sebulan saya dapat dalam RM300 ke RM500,” katanya, yang sudah 40 tahun menjadi pengayuh beca.
Mohd Nasir Jusoh, 67, juga menawarkan khidmat yang sama demi menyara dua anaknya yang masih bersekolah.
Setiap hari dia juga membawa pelanggan tetapnya Kamariah Othman, 59, menjaja kuih di sekitar bandar Kuala Terengganu dengan menaiki beca.
“Saya akan bawa Kamariah menjaja kuihnya. Biasanya saya kenakan caj RM6 dan kami akan pusing di sekitar bandar ini.
“Saya tak kisah pun sebab masing- masing nak cari duit untuk sara keluarga. Apa sahaja yang boleh dibuat, kami buat,” katanya, yang mengayuh dua jam pergi balik dari rumahnya di Wakaf Mempelam ke Pasar Payang.
Bawa beca sampai akhir hayat
Abdul Razak Husin, 69, pula berkata pengayuh beca sebenarnya hanya menunggu masa memandangkan pekerjaan itu kini yang kini ditelan peredaran masa.
Suatu masa dahulu, pada tahun 1970-an, beca pernah menjadi pengangkutan utama penduduk di Kuala Terengganu, katanya.
Abdul Razak yang sudah 51 tahun mengayuh beca menceritakan pengalaman yang tidak dapat dilupa apabila seorang wanita bersalin di becanya kerana tidak sempat sampai ke hospital.
“Tapi itu dululah masa tahun 70- an, masa itu kereta tidak ada lagi jadi khidmat beca ini sangat penting, sehinggalah ada kereta bas, teksi dari jadi pengangkutan utama kita ubah operasi selepas itu untuk pelancongan,” katanya.
Abdul Razak juga sedih kerajaan negeri tidak cakna dengan nasib dan keperluan pengayuh beca.
Beliau mendakwa sehingga ke hari ini kerajaan negeri masih gagal membayar elaun bulanan RM200 yang dijanjikan kepada pengayuh beca pada Jun lepas.
“Bukan saja kita tak dapat elaun tapi menteri besar sendiri tak pernah nak turun tanya keadaan pengayuh beca di Pasar Payang.
“Peliknya semasa sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 ada juga kami nampak beliau turun tapi lepas menang dan jadi kerajaan tak pernah jejak kaki dekat pasar ini. Mungkin kami akan dapat lihat menteri besar semasa nak dekat PRU15 nanti,” katanya berseloroh.
Abdul Razak berkata biarpun usia mereka lanjut dan perkhidmatan beca sudah tidak relevan ketika ini namun mereka akan tetap membawa beca sehingga akhir hayat.
Sementara itu mengulas mengenai dakwaan kegagalan membayar elaun bulanan pengayuh beca, exco pelancongan, kebudayaan, teknologi maklumat Arrifin Deraman menjelaskan pembayaran itu terlewat kerana “isu teknikal”.
Perkara itu sudah diselesaikan dan proses pembayaran akan dibuat dalam masa terdekat, katanya.
Pada masa sama Adun Alur Limbat berkata kerajaan negeri sedia maklum keadaan dan nasib pengayuh beca. Kerajaan pada masa ini sedang sedang berusaha untuk memulihara perkhidmatan beca yang menjadi antara warisan negara.
“Sebab itu tahun depan kita akan mulakan projek beca solar, sebab kita tahu pengayuh beca ini masing-masing dah berumur 60, 70 tahun jadi perlu ada inovasi untuk memperbaharui beca di negeri ini.
“Cuma pada masa sama untuk kita moden dan memberi inovasi kepada pengayuh beca kita kekalkan juga ciri nilai tradisional beca yang ini.
“Kita tengoklah perancangan kita tahun hadapan,” katanya. – 31 Oktober, 2021.