Kenapa bimbang bila pemimpin 93 tahun jumpa sekumpulan duta?
Iklan
BEGINI halnya: Mungkin lebih tepat jika dikatakan kumpulan duta Kesatuan Eropah (EU) itu yang mahu bertemu Dr Mahathir Mohamad dan bukan sebaliknya.
Mengapa? Sebab mereka mungkin mahu mengetahui sisi berbeza ke atas isu yang berlaku di Malaysia. Satu cerita yang mereka tidak dapat perolehi dari kertas perca yang dipanggil akhbar di sini.
Lalu, Anifah Aman, Hishammuddin Hussein dan yang lain tidak perlu bimbang mengenai campur tangan dalam hal ehwal Malaysia. Eropah tidak akan menghantar flotila kapal untuk menyerang Malaysia.
Kita tidak perlu bimbang apabila rakan perdagangan Malaysia yang paling besar ini menunjukkan minat dalam senario politik semasa – sepertimana sikap kita ke atas isu kedaulatan negara apabila China mendominasi projek infrastruktur dan betapa Putrajaya begitu mudah mendapat dana untuk menimbus hutangnya.
Tapi hal yang paling membingungkan begini: Najib dan konco-konconya dalam Umno giat mencemuh tokoh berusia 93 tahun yang kini memimpin Pakatan Harapan.
Mereka kata dia sudah tua. Tiada daya lagi. Sudah lapuk.
Namun kata-kata dan tindakan pemimpin ini menunjukkan mereka gerun pada Dr Mahathir Mohamad.
Kenapa bimbang jika Dr Mahathir dan pasukannya bertemu sekumpulan duta? Dia hanyalah pemimpin lapuk, menurut anggapan Putrajaya dan usahanya akan sia-sia, jika melihat kepada apa yang ditulis dan dilaporkan media arus perdana.
Dan akhir sekali, tolonglah jangan arahkan akhbar bercakap tentang prinsip atau prinsip yang dicabul. Kata-kata ini bunyinya lompong dan tidak membawa apa-apa makna.
Lebih kurang seperti Ali Baba dan 40 penyamunya memberi syarahan mengenai etika. – 28 Januari, 2018.